Thursday, October 30, 2008

MEMS dan Nanoteknologi: Tersangat Kecil Tetapi Impaknya Raksasa

Syarahan perdana akan diadakan pada 14 November 2008 di Bilik Senat, UKM mulai jam 8.30 pagi. Hadirin akan diberikan buku syarahan percuma. Selepas syarahan, buku akan dijual oleh Penerbit UKM.

Friday, October 24, 2008

Ranking UKM naik ke tangga 250 terbaik di dunia

Ranking yang dibuat oleh Time Higher Education Supplement(THES) bagi tahun 2008 menunjukkan UKM telah naik berbanding tahun 2007 sebanyak 59 anak tangga. Sekarang UKM berada pada 250 universiti seluruh dunia iaitu di bawah UM yang berada pada tangga 230. Tetapi yang jelas UKM berada pada tangga jauh di atas USM (313) dan UPM (320) yang kedua-duanya berada pada tangga 300 ke atas. Tiada universiti di Malaysia berada pada top 200 sebagaimana tahun 2006 di mana UKM berada pada 185 dan menjadi yang tertinggi di Malaysia.

Penarafan universiti adalah berdasarkan Research Quality(60%), Employer Review(10%), International Outlook(10%) dan Teaching Quality (20%). Dari segi employer review, UKM selalunya rendah berbanding lain-lain universiti. Ini kerana persepsi majikan terhadap keluaran UKM masih tebal sejak dulu lagi. Tapi, mujurlah markahnya hanya 10% sahaja. Ini bermakna dari segi akademik termasuk research quality, UKM sudah baik. berbanding USM, UPM dan UTM jika mengikut THES pada tahun ini.

Apa pun orang kata mengernai ranking yang dibuat oleh THES tapi hakikatnya itulah yang masyarakat umum percaya. Kita memang mengetahui ranking itu tidak menggambarkan yang sebenar 100%, kerana ada data-data yang tidak dapat diperoleh atau tidak tepat. National University Singapore pada tangga 30 dan Seoul National University berada pada tangga 50.
Masyarakat umum termasuk pihak yang berkuasa terutamanya dari parti bukan Kerajaan akan mengatakan yang universiti kita tidak baik berbanding dengan Singapura yang hanya diseberang tambak sahaja. Tetapi, bagi saya itu tidaklah penting sangat kerana objektif kita adalah berbeza. Mereka mempunyai wang yang banyak untuk berlumba dengan universiti-universiti hebat seluruh dunia, termasuk membawa masuk orang-orang yang hebat. Kemudahan yang terdapat di NUS dan juga NTU jauh lebih baik dari kebanyakan universiti di UK.
Di Malaysia penekanan yang diberikan adalah untuk pengajaran, peruntukan kepada universiti termasuk pengambilan pensyarah hanya berdasarkan pengajaran. Hanya baru setahun-dua ini sahaja Kerajaan memberikan peruntukan untuk penyelidikan dari Kementerian Pendidikan Tinggi kepada universiti penyelidikan. Tetapi yang anihnya ada yang mempersolkan atau cuba membandingkan universiti tempatan dengan universiti luar negara yang hebat terutama Singapura. Di Malaysia, untuk tujuan perbandingan terdapat profesor di UKM yang bilangan penerbitanya jurnal berindeks lebih tinggi dari bilangan penerbitan bagi sebuah universiti tetentu.
Jelas bahawa kualiti penyelidikan memberikan markah yang tinggi dalam penarafan universiti. Bilangan penerbitan kertas teknikal(paper) di dalam jurnal berindeks dan bilangan citation menjadi ukuran. Untuk menghasilkan penerbitan yang boleh diterima dalam jurnal terkenal memerlukan penemuan baru daripada penyelidikan yang yang dilakukan. Penemuan baru bermakna sesuatu yang belum pernah dilaporkan dan mempunyai nilai akademik. Ini hanya boleh diperoleh daripada penyelidikan-penyelidikan asas dan juga bersifat gunaan. Soalnya berapa banyakkah peruntukan yang diberikan untuk tujuan ini atau berapa banyakkah dana yang diperoleh dari mana-mana pihak untuk tujuan tersebut. Jika dibandingkan dengan universiti luar negara yang berada pada tangga 100 ke bawah, adalah ibarat bumi dengan langit. Universiti APEX, iaitu USM telah diberikan harapan untuk mencapai cita-cita meletakan universiti itu berada pada ranking 100 ke bawah dalam tempoh 5 tahun. Tahun ini kedudukan USM agak jauh iaitu pada tangga 313. Jadi tugas untuk berada pada tangga 100 adalah agak berat, tetapi tidak mustahil jika segala kekangan dapat diatasi. Wang ada boleh buat dan itulah tujuan APEX.

Friday, October 17, 2008

Nanotech Malaysia 2008

Nanotech Malaysia 2008 telah berlangsung pada 14-16 Oktober 2008 di PWTC Kuala Lumpur. Pameran tersebut hanya mendapat liputan dari akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau. Akhbar perdana seperti Utusan dan Berita Harian tidak berminat kerana tiada hal politik yang boleh dimuatkan. Kali ini hanya pameran penyelidikan dai beberapa IPTA seperti UKM, UTM, UniMAP, UiTM dan Nortingham University yang turut serta. UKM telah diwakili oleh IMEN yang mempamerkan aktiviti penyelidikan dalam bidang MEMS dan Nanoteknologi. Penyertaan syarikat yang membekalkan peralatan untuk penyelidikan dalam bidang yang berkaitan dengan nanoteknologi. Czech Republic merupakan pamamer yang turut mengadakan seminar mengenai aktiviti nanoteknologi di negaranya.
Nanotech 2008 telah dianjurkan oleh Global Event Management Sdn Bhd dan ditunjangi oleh Malaysia Nanotechnology Association(MNA) dan Akademi Sains Malaysia.
Nanotech 2008 telah diresmikan oleh Prof Dr. Halimaton Hamdan mewakili Akademi Sains dan saya sendiri (Prof. Dr. Burhanuddin Yeop Majlis) mewakili MNA.
Nanotech 2009 akan diadakan pada 3 - 5 November 2009 di PWTC. UKM melalui IMEN akan menjadi salah satu organisasi utama dalam penganjuran tersebut bersama Malaysia Nanotechnology Association (MNA).

Sunday, October 12, 2008

Profesor atau Pensyarah

Ramai orang terkeliru dengan istilah pensyarah dan profesor. Dalam Bahasa Inggeris pensyarah adalah lecturer, bermakna orang yang kerjanya memberi kuliah atau mengajar pada peringkat tinggi. Mengajar di peringkat sekolah dipanggil chikgu, di mana kaedah mengajar perlu dikuasai bagi menyampaikan pengajaran kepada murid-murid.
Kalau di US, Jepun dan Korea (yang saya tahu), bilangan profesor biasanya lebih ramai dari pensyarah. Tapi, di Malaysia adalah sebaliknya, kerana kebanyakan tenaga akademiknya adalah bertugas memberikan kuliah dalam subjek tertentu sahaja dan banyak yang masih muda-muda ( kurang dari 40 tahun). Di luar negara, profesor biasanya bekerja sehingga 65 tahun. Di US tiada umur persaraan, mereka bekerja selagi kesihatan mengizinkan. Di Indonesia juga begitu, ada profesor yang sudah lewat 70 masih bekerja.
Selainnya dari menyampaikan ilmu melalui kuliah, universiti seharusnya melakukan penyelidikan bagi memperkayakan lagi bidang ilmu tertentu. Universiti mempunyai dua kategori pelajar iaitu prasiswazah yang mengikuti kuliah untuk mendapatkan ijazah pertama seperti BA, BSc, BEng dan sebagainya, dan siswazah yang merupakan pelajar untuk mendapatkan ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah. Untuk kategori siswazah mereka perlu melakukan penyelidikan yang mesti mendapatkan penemuan baru di bawah penyeliaan seorang tenaga akademik yang berpengalaman yang biasanya adalah seorang profesor.
Di US, Jepun dan Kore serta di Negara Barat, tenaga akademik di universiti adalah profesor yang jika di Malaysia mungkin profesor dan pensyarah. Profesor adalah seorang mahaguru, jika di Indonesia dipanggil guru besar. Jadi jika mereka bertanya "How many professor do you have" bermakna berapa rama tenaga pengajar yang awak ada.
Sebenarnya tugas tenaga akademik atau guru di universiti tidaklah mengajar semata-mata sebagaimana yang disangkakan oleh ramai orang. Tugas mereka terbagi 3 iaitu memberi kuliah, menyelidik dan memberi khidmat. Bagi universiti penyelidikan seperti UKM peratus mengajar hanyalah sekitar 30 %, penyelidikan 50% dan perkhidmatan 20% bergantung pada fakulti dan institut. Ada institut di universiti yang fungsi utamanya melakukan penyelidikan, peratus pengajar adalah sekiar 10% sahaja, manakala penyelidikan sekitar 60% dan bakinya perkhidmatan. Perkhidmatan bermakna mereka bertugas sebagai penasihat, ahli pakar peringkat nasional atau sebagai pentadbir sesebuah fakulti. Sebenarnya universiti memerlukan calon guru yang mempunyai kelayakan yang tinggi, tapi di Malaysia persepsi masyarakat adalah berbeza. Jika seseorang yang mempunyai kelayakan yang tinggi seperti first class tidak mahu bertugas di universiti, kerana menganggap universiti hanya mengajar seperti sekolah tinggi sahaja. Tanggapan sebegini memangnya silap, menyebabkan universiti kekurangan tenaga kademik yang berwibawa.
Malaysia merupakan negara sedang membangun, permintaan terhadap graduan universiti untuk memenuhi keperluan pekerjaan di swasta dan kerajaan merupakan perkara utama. Jadi peranan universiti untuk mengajar masih lagi menjadi keutamaan. Oleh itu untuk membolehkan aktiviti yang sebenarnya sebagai sebuah universiti maka kategori universiti penyelidikan diwujudkan. Buat masa ini Kementerian Pendidikan Tinggi telah memilih empat universiti utama iaitu UM, UKM, UPM dan USM sebagai universiti penyelidikan di mana peratusan aktiviti penyelidikan lebih besar dari pengajaran dan bilangan profesornya lebih ramai. Suatu masa nanti mungkin hampir 90% tenaga akademiknya adalah profesor.



Thursday, October 9, 2008

Coffee Bar dan Aktiviti Pensyarah

Minum kopi dalam waktu bekerja merupakan aktiviti berehat bagi kebanyakan profesen. Kalau di UK masa untuk minum adalah pada pukul 10 pagi, masa itu seolah-olah tiada kerja dilakukan kerana semuanya pergi minum teh atau kopi di bilik kopi atau coffee bar. Saya masih ingat lagi ketika di mengikuti kursus di GEC Marconi, seorang penceramah hanya meberikan kursus 10 minit sahaja dan berhenti kerana waktu minum kopi daha sampai. Tea time di universiti di UK merupakan suatu yang mesti di mana semua pensyarah berkumpul dan berbincang sebarang tajuk. Posgraduate students juga adalah termasuk dalam kategori itu bergaul dengan para pensyarah dan sering berjumpa di bilik kopi. Jadi kita tahu jika seseorang ada tau pun tidak, tunggu saja di bilik kopi. Bilik kopi hanya dibuka 30 minit sahaja, jadi jika terlepas masa itu tiada lagi tea atau kopi yang disediakan.
Di UKM dan mungkin di Malaysia sekarang bilik kopi sudah hampir tiada. Semua orang sibuk bekerja dan jika mahu minum kopi pergi ke kafeteria yang dibuka sepanjang masa, atau buat kopi sendiri di pejabat. Memang kalau hanya untuk minum sahaja cukuplah begitu, tetapi minum kopi di bilik kopi atau bilik rehat sebenarnya bukan sekadar minum. Interakasi antara pensyarah2 atau pelajar siswazah itulah yang penting. Percambahan fikiran atau perbincangan boleh terjadi semasa berjumpa dan minum kopi bersama. Sakarang pensyarah sudah kurang berinteraksi lagi, ramai penyarah yang tidak kenal antara satu sama lain secara mesra. Ada yang pejabat hanya bersebelahan tetapi tidak pernah berjumpa sampai seminggu atau sebulan kerana sibuk di pejabat masing-masing.
Bilik rehat di Fakulti Kejuruteraan UKM sudah hampir tutup, cuma tinggal sebesar bilik pensyarah sahaja, itu dipertahankan oleh pensyarah2 lama seperti Prof. Dr. Wan Ramli, Prof. Dr. Jaafar dan Prof. Dr. Yusof Ali dan lain-lain. Mereka ini sahaja yang masih merasakan bilik rehat itu penting untuk melepaskan stress dan membincangkan sesuatu isu semasa yang tidak semestinya hal-hal politik sahaja. Ada banyak perkara yang perlu dibicarakan, seperti masalah kuliah, penyelidikan, pentadbiran universiti dan sebagainya. Kadang-kadang pelajar juga tahu waktu bila dan macam mana nak cari pensyarahnya, jika masa rehat tetap pada jam 10 pagi di bilik rehat.
Sebenarnya perjumpaan masa minum tidak perlu lama, 10 - 20 minit sudah memadai tetapi setiap hari. Memang kerja di universiti sekarang terlalu banyak, sebab itulah perlu ada masa untuk berinteraksi yang bersistem dan bukannya di di kafeteria yang buka sepanjang masa.

Thursday, October 2, 2008

Ucapan sms Hari Raya pada Hari Raya

Apabila mula sahaja puasa sudah ada yang memberikan ucapan Selamat Hari Raya sehinggalah diakhir Ramadhan. Ucapan selamat hari raya samada melalui kad atau media elektronik seperti yang berlaku sekarang adalah merupakan doa semoga dapat meraya Hari Raya, kerana ada yang belum sempat Hari Raya sudah dipanggil oleh Allah.
Sebenarnya menerima ucapan pada Hari Raya adalah yang paling bermakna, tetapi ianya tidak dapat dilakukan sebelum ini. Sekarang, dengan sms ucapan dengan mudah dihantar dan sampai terus kepada individu tertentu.
Selalunya yang banyak menghantar sms Hari Raya adalah rakan dan pelajar. Ucapan sms dari kenalan bukan Islam tidak pernah tiada setiap tahun. Tahun ini tidak banyak sms Hari Raya yang diterima kecuali dari beberapa rakan dan juga beberapa pelajar. Pelajar wanita biasanya tidak menghantar sms kecuali yang bujang kerana mungkin merasa agak janggal hantar sms kepada lelaki walaupun lebih tua darinya dan kerana sibuk dengan keluarga terutama anak-anak. Tahun ini ramai pelajar dan bekas pelajar yang dah kahwin mungkin itulah sebabnya kurang sms Hari Raya sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.