Showing posts with label UKM. Show all posts
Showing posts with label UKM. Show all posts

Sunday, August 16, 2009

UKM lahirkan 207 graduan PhD pada tahun 2009

Majlis Konvokesyen pada tahun ini adalah konvokesyen yang ke-37 bagi UKM dan yang ke 33 kali di kampus induk Bangi di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR). Sebelum daripada itu, pada 1973 hingga 1977, majlis konvokesyen UKM diadakan di Bangunan Parlimen Kuala Lumpur. Saya ada salah seorang dari kumpulan graduan pertama yang majlis konvokesyenya diadakan di DECTAR yang baru sahaja siap dibina pada tahun 1978. Pada masa itu tidak terbayang yang UKM menganugerahkan ijazah PhD, ijazah Sarjanamuda pun sudah dianggap cukup tinggi pada ketika itu. Ketika itu keluaran UKM dan lain universiti tempatan (masa itu hanya ada UKM, UM, USM dan UPM sahaja) biasanya mesti menyambung pengajian ke United Kingdom jika mahu buat Master atau PhD kerana tiada kemudahan dan tiada penyelia yang mampu untuk mengambil pelajar PhD.

Konvokeesyen pertama di Bangunan Parlimen, Tiga dari kanan Prof. Dr. Rahim Samsudin
UKM hanya mula mengeluarkan graduan PhD pada tahun 1982, manakala Sarjana sejak 1973 tetapi bilangnya hanya kurang dari 5, dan 9 - 11 pada tahun 1980 dan 1981.
Tahun ini UKM telah mengeluarkan seramai 207 orang PhD dan merupakan yang teramai di Malaysia. Di samping itu UKM juga telah mengeluarkan seramai 1,531 ijazah Sarjana dan 5,607 ijazah Sarjanamuda. Secara keseluruhan, sejak ditubuhkan UKM telah menghasilkan seramai 15,899 orang graduan Sarjana dan 1,387 orang graduan PhD. Jumlah ini juga menurut Naib Canselor Prof. Tan Sri Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, merupakan yang teramai berbanding IPTA lain di Malaysia. Bagi graduan Sarjanamuda seramai 113,975 orang telah dihasilkan.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa individu yang sedang popular di Malaysia sekarang adalah juga merupakan alumni UKM, mereka ialah Tan Sri Datuk Dr. Jemilah Mahmood, Presiden Mercy Malaysia, YB. Dato’ Sri Liow Tiong Lai Menteri Kesihatan, yang sedang sibuk dengan wabak influenza H1N1, dan YBhg. Tan Sri Dato’ Hj. Alimuddin b. Hj. Mohd Dom, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran.

Saturday, June 6, 2009

UKM dapat canselor baru, NC dapat gelaran baru

Tahun ini UKM mencatat sejarah apabila Canselor baru telah dilantik menggantikan Almarhum Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang mangkat dalam bulan Disember 2008. Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir yang merupakan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan telah diistiharkan oleh Yang diPertuan Agung sebagai Canselor UKM yang ke -3 bermula 16 April 2009.

DYMM Tuanku Muhriz dilahirkan di Kuala Pilah pada 1948. Pada tahun 1960, baginda dikurniakan Gelaran Pusaka YAM. Tunku Laxamana dan tahun berikutnya baginda menerima Gelaran Pusaka YAM. Tunku Besar Seri Menanti. Baginda menerima pendidikan asas di Kuala Pilah seterusnya di Sekolah King George V, Seremban dan di Aldenham School, Elstree, United Kingdom. Baginda memperoleh Ijazah LLB dari University of Wales, Aberystwyth.
Baginda memulakan kerjayanya dalam sektor perbankan, seterusnya dalam broker kewangan dan pengiklanan. Baginda turut terlibat dalam beberapa syarikat awam dan swasta sebagai Pengarah di samping menjadi Pengarah di sebuah bank. Antara penglibatan baginda dalam khidmat kemasyarakatan adalah menjadi anggota Board of Trustees of The Tinggi Foundation yang memberi biasiswa kepada pelajar Malaysia yang cemerlang di University of Nottingham of Malaysia dan Universiti Malaya selain pernah terlibat secara aktif dalam Rotary Club Kuala Lumpur.

Pada 6 Jun 2009 pula, Naib Canselor UKM telah dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Prof. Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin merupakan Naib Canselor UKM yang ke-10. Beliau seorang yang kuat bekerja dan mengutamakan kualiti. Orang yang tak suka buat banyak kerja dan tak suka berubah agak kurang senang dengan gaya beliau, tetapi yang memang suka bekerja dan mementingkan kecekapan serta kualiti akan mendokong gaya beliau. Kita mesti sanggup berubah jika mahu maju, perkara yang menghambat kemajuan perlu diubah. Usaha untuk menaikan ranking UKM sedang giat dilakukan sejak dulu lagi, tetapi penekanan pada penerbitan berindeks diberi keutmaan. Sekarang, bilangan penerbitan di dalam journal ynag berindeks telah meningkat dengan banyak walaupun masih sedikit berbanding universiti tertua di Malaysia, UM. UTM dan dan UPM yang sebelum ini mengaku universiti tertua kerana bermula dari kolej pertanian dan kolej teknik, sekarang sudah tidak mahu mengaku tua lagi kerana bilangan penerbitan yang sepatutnya banyak bagi universiti yang tua, tetapi sebaliknya. Sebenarnya bilangan penerbitan universiti di Malaysia (4 universiti utama UM, USM, UKM, UPM) iaitu sekitar 2,500 - 3,000 setiap 5 tahun adalah terlalu kecil berbanding universiti terkenal di USA dan Jepun iaitu sekitar 15,000 - 30,000 setiap 5 tahun.

Sunday, February 1, 2009

Fakulti Kejuruteraan UKM berusia 25 tahun

Tahun 2009 Fakulti Kejuruteraan UKM telah mencapai umur 25 tahun. Suatu tempoh yang secara relatif masih dianggap muda berbanding dengan UM dan UTM. Tetapi dalam usia 25 tahun, menurut Dekan Prof. Dr. Marzuki Mustafa fakulti telah mencapai banyak kejayaan dan telah memintas kedudukan universiti lain di Malaysia. Nama fakulti pun telah ditukar kepada Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB).
Pada 31 Jan 2009 telah berlansungnya Majlis Makan Malam tahunan yang ke 20 lebih, di Menara PJH Putarajaya. Majlis untuk tahun 2008 tersebut terpaksa ditunda ke tahun 2009 kerana terlalu banyak aktiviti diakhir tahun 2008). Saya yang sudah hampir 7 tahun tidak sepenuhnya dengan fakulti kecuali di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem kerana sibuk dengan tugas di IMEN merasa agak hampir asing kerana ramai staf baru yang saya tidak kenal, walaupun IMEN berada di bawah satu bumbung dengan fakulti. Saya tidak pasti sama ada mereka yang baru-baru kenal saya atau tidak. Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Prof. Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Shahabuddin Naib Canselor UKM seta suami dan dihiburkan dengan aritis jemputan Nazrey bekas penyanyi RAIHAN dan diacarakan oleh Nordin Md. Salleh dari Radio KL FM. Seperti biasa di majlis tersebut beberapa anugerah telah disampaikan kepada kakitangan yang memberi sumbangan dalam tahun tersebut 2008. Salah satu anugerah yang disampaikan ialah "Anugerah jasa mu dikenang" kepada mereka yang telah bersara wajib pada tahun 2008. Prof. Dr. Kasmiran Jumari telah dianugerahkan bersama dengan Pn Noraini bekas kakitangan Jabatan Kejuruteraan Awam dan Struktur.
Mengimbas kembali kenangan semasa Majlis makan Malam ke - 4 yang diadakan di Hotel Crown Plaza K.L. pada 1992 di mana saya adalah pengacara majlis(MC). Masa itu tak cukup peruntukan untuk jemput pengacara luar. Dekan pada masa itu ialah Ir. Prof. Dato' Dr. Zainul Abidin Shariff. Kebetulan semasa membersihkan fail-fail lama pagi ini saya terjumpa teks semasa menjadi MC Majlis Makan Malam tersebut yang saya sediakan dalam bentuk pantun dan seloka. Saya turunkan di sini di antara semoga menjadi ingatan dan bahan menungan bersama,

Selamat datang ke Majlis Makan Malam yang ke empat
Yang dihadiri oleh tetamu-tetamu hebat
Mewakili universiti, industri dan juga pejabat
Yang datang dari jauh dan dekat
Kerana jalinan hubungan sudah terikat
Kita lupakan pangkat dan juga darjat
Tidak seperti kitika di pejabat
Supaya hubungan menjadi rapat
Semoga semuanya mendapat berkat

Majlis makan malam kegiatan tahunan
Usahan Fakulti menjadi kebanggaan
Kejayaan pelajar dan kakitangan mendapat pengiktirafan

Kehadiaran tuan/puan sangat dialukan
bukan sekadar untuk makan
tetapi untuk meraikan mahasiswa dan graduan kejuruteraan
serta kakitangan yang cemerlang dan yang masuk ke alam persaraan

Kejayaan fakulti mengeluarkan graduan
menjadi kebanggaan dan mendapat sokongan
Dari swasta dan juga Kerajaan
Untuk memenuhi impian dan wawasan
tahun 2020 jauh di hadapan
Menjadikan Malaysia Negara Perindustrian

Sebelum impian menjadi kenyataan
terlebih dahulu dibuat persiapan
Di sini peranan Fakulti Kejuruteraan

Jika dipanjang umur dan dijaga kesihatan
dui waktu intu ada yang sudah mennjadi jutawan.
.... dan banyak lagi..

Masa itu yang bersara ialah Tn. Hj. Abdul Rauf Hj Hassan pembantu makmal kanan JKKP. Prof. Dr. Mohd. Zawawi Ismail telah mendapat cendera hati dari Dekan FK kerana dianugerahkan bintang DPSK dari Sultan Kelantan yang membawa gelaran Dato'.
Siapakah Prof. Kasmiran, mungkin staf baru-baru tidak banyak yang mengenalnya. Prof. Dr. Kasmiran merupakan Ketua Jabatan Elektronik yang ke-4 (sekarang yang ke - 12) dan bekas Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) yang ke - 2 (sekarang yang ke- 6) sebelum beliau dilantik menjadi pengarah Pusat Komputer sejak 1995 sehingga tahun 2006. Beliau bertanggung jawab membangunkan sistem rangkaian di UKM.
Prof. Kasmiran mempunyai kepakaran dalam mikrporessor dan Software Engineeing. Beliau mempunyai minat dalam elektronik secara hands on semasa menjadi pelajar UKM sekitar tahun 1974 - 1977. Tahun 1974 merupakan tahun demonstrasi pelajar di UM dan UKM dan Kasmiran yang tinggal di Kolej pertama di Kampus Jalan Pantai Baru telah membuat sistem radio (hobinya) yang dapat menerima perbualan walkie-talkie polis ketika itu dan memberi tahu pelajar lain di Kolej. Jadi beliau menjadi popular dan dikenali oleh semua orang yang seangkatan dengannya. Sifat hands-on beliau telah menggiatkan aktiviti dalam elektronik terutamanya yang berkait dengan mikroprosesor di Jabatan Elektronik sejak 1981 lagi iaitu semasa saya mula menjadi pensyarah dan di tahun yang sama juga Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri mengantikan Tun Hussein Onn.
Semoga Prof. Dr. Kasmiran akan terus menyumbang tenaga dan pengalaman dalam pembangunan anak bangsa melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi di FKAB khususnya.

Friday, October 24, 2008

Ranking UKM naik ke tangga 250 terbaik di dunia

Ranking yang dibuat oleh Time Higher Education Supplement(THES) bagi tahun 2008 menunjukkan UKM telah naik berbanding tahun 2007 sebanyak 59 anak tangga. Sekarang UKM berada pada 250 universiti seluruh dunia iaitu di bawah UM yang berada pada tangga 230. Tetapi yang jelas UKM berada pada tangga jauh di atas USM (313) dan UPM (320) yang kedua-duanya berada pada tangga 300 ke atas. Tiada universiti di Malaysia berada pada top 200 sebagaimana tahun 2006 di mana UKM berada pada 185 dan menjadi yang tertinggi di Malaysia.

Penarafan universiti adalah berdasarkan Research Quality(60%), Employer Review(10%), International Outlook(10%) dan Teaching Quality (20%). Dari segi employer review, UKM selalunya rendah berbanding lain-lain universiti. Ini kerana persepsi majikan terhadap keluaran UKM masih tebal sejak dulu lagi. Tapi, mujurlah markahnya hanya 10% sahaja. Ini bermakna dari segi akademik termasuk research quality, UKM sudah baik. berbanding USM, UPM dan UTM jika mengikut THES pada tahun ini.

Apa pun orang kata mengernai ranking yang dibuat oleh THES tapi hakikatnya itulah yang masyarakat umum percaya. Kita memang mengetahui ranking itu tidak menggambarkan yang sebenar 100%, kerana ada data-data yang tidak dapat diperoleh atau tidak tepat. National University Singapore pada tangga 30 dan Seoul National University berada pada tangga 50.
Masyarakat umum termasuk pihak yang berkuasa terutamanya dari parti bukan Kerajaan akan mengatakan yang universiti kita tidak baik berbanding dengan Singapura yang hanya diseberang tambak sahaja. Tetapi, bagi saya itu tidaklah penting sangat kerana objektif kita adalah berbeza. Mereka mempunyai wang yang banyak untuk berlumba dengan universiti-universiti hebat seluruh dunia, termasuk membawa masuk orang-orang yang hebat. Kemudahan yang terdapat di NUS dan juga NTU jauh lebih baik dari kebanyakan universiti di UK.
Di Malaysia penekanan yang diberikan adalah untuk pengajaran, peruntukan kepada universiti termasuk pengambilan pensyarah hanya berdasarkan pengajaran. Hanya baru setahun-dua ini sahaja Kerajaan memberikan peruntukan untuk penyelidikan dari Kementerian Pendidikan Tinggi kepada universiti penyelidikan. Tetapi yang anihnya ada yang mempersolkan atau cuba membandingkan universiti tempatan dengan universiti luar negara yang hebat terutama Singapura. Di Malaysia, untuk tujuan perbandingan terdapat profesor di UKM yang bilangan penerbitanya jurnal berindeks lebih tinggi dari bilangan penerbitan bagi sebuah universiti tetentu.
Jelas bahawa kualiti penyelidikan memberikan markah yang tinggi dalam penarafan universiti. Bilangan penerbitan kertas teknikal(paper) di dalam jurnal berindeks dan bilangan citation menjadi ukuran. Untuk menghasilkan penerbitan yang boleh diterima dalam jurnal terkenal memerlukan penemuan baru daripada penyelidikan yang yang dilakukan. Penemuan baru bermakna sesuatu yang belum pernah dilaporkan dan mempunyai nilai akademik. Ini hanya boleh diperoleh daripada penyelidikan-penyelidikan asas dan juga bersifat gunaan. Soalnya berapa banyakkah peruntukan yang diberikan untuk tujuan ini atau berapa banyakkah dana yang diperoleh dari mana-mana pihak untuk tujuan tersebut. Jika dibandingkan dengan universiti luar negara yang berada pada tangga 100 ke bawah, adalah ibarat bumi dengan langit. Universiti APEX, iaitu USM telah diberikan harapan untuk mencapai cita-cita meletakan universiti itu berada pada ranking 100 ke bawah dalam tempoh 5 tahun. Tahun ini kedudukan USM agak jauh iaitu pada tangga 313. Jadi tugas untuk berada pada tangga 100 adalah agak berat, tetapi tidak mustahil jika segala kekangan dapat diatasi. Wang ada boleh buat dan itulah tujuan APEX.

Sunday, October 12, 2008

Profesor atau Pensyarah

Ramai orang terkeliru dengan istilah pensyarah dan profesor. Dalam Bahasa Inggeris pensyarah adalah lecturer, bermakna orang yang kerjanya memberi kuliah atau mengajar pada peringkat tinggi. Mengajar di peringkat sekolah dipanggil chikgu, di mana kaedah mengajar perlu dikuasai bagi menyampaikan pengajaran kepada murid-murid.
Kalau di US, Jepun dan Korea (yang saya tahu), bilangan profesor biasanya lebih ramai dari pensyarah. Tapi, di Malaysia adalah sebaliknya, kerana kebanyakan tenaga akademiknya adalah bertugas memberikan kuliah dalam subjek tertentu sahaja dan banyak yang masih muda-muda ( kurang dari 40 tahun). Di luar negara, profesor biasanya bekerja sehingga 65 tahun. Di US tiada umur persaraan, mereka bekerja selagi kesihatan mengizinkan. Di Indonesia juga begitu, ada profesor yang sudah lewat 70 masih bekerja.
Selainnya dari menyampaikan ilmu melalui kuliah, universiti seharusnya melakukan penyelidikan bagi memperkayakan lagi bidang ilmu tertentu. Universiti mempunyai dua kategori pelajar iaitu prasiswazah yang mengikuti kuliah untuk mendapatkan ijazah pertama seperti BA, BSc, BEng dan sebagainya, dan siswazah yang merupakan pelajar untuk mendapatkan ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah. Untuk kategori siswazah mereka perlu melakukan penyelidikan yang mesti mendapatkan penemuan baru di bawah penyeliaan seorang tenaga akademik yang berpengalaman yang biasanya adalah seorang profesor.
Di US, Jepun dan Kore serta di Negara Barat, tenaga akademik di universiti adalah profesor yang jika di Malaysia mungkin profesor dan pensyarah. Profesor adalah seorang mahaguru, jika di Indonesia dipanggil guru besar. Jadi jika mereka bertanya "How many professor do you have" bermakna berapa rama tenaga pengajar yang awak ada.
Sebenarnya tugas tenaga akademik atau guru di universiti tidaklah mengajar semata-mata sebagaimana yang disangkakan oleh ramai orang. Tugas mereka terbagi 3 iaitu memberi kuliah, menyelidik dan memberi khidmat. Bagi universiti penyelidikan seperti UKM peratus mengajar hanyalah sekitar 30 %, penyelidikan 50% dan perkhidmatan 20% bergantung pada fakulti dan institut. Ada institut di universiti yang fungsi utamanya melakukan penyelidikan, peratus pengajar adalah sekiar 10% sahaja, manakala penyelidikan sekitar 60% dan bakinya perkhidmatan. Perkhidmatan bermakna mereka bertugas sebagai penasihat, ahli pakar peringkat nasional atau sebagai pentadbir sesebuah fakulti. Sebenarnya universiti memerlukan calon guru yang mempunyai kelayakan yang tinggi, tapi di Malaysia persepsi masyarakat adalah berbeza. Jika seseorang yang mempunyai kelayakan yang tinggi seperti first class tidak mahu bertugas di universiti, kerana menganggap universiti hanya mengajar seperti sekolah tinggi sahaja. Tanggapan sebegini memangnya silap, menyebabkan universiti kekurangan tenaga kademik yang berwibawa.
Malaysia merupakan negara sedang membangun, permintaan terhadap graduan universiti untuk memenuhi keperluan pekerjaan di swasta dan kerajaan merupakan perkara utama. Jadi peranan universiti untuk mengajar masih lagi menjadi keutamaan. Oleh itu untuk membolehkan aktiviti yang sebenarnya sebagai sebuah universiti maka kategori universiti penyelidikan diwujudkan. Buat masa ini Kementerian Pendidikan Tinggi telah memilih empat universiti utama iaitu UM, UKM, UPM dan USM sebagai universiti penyelidikan di mana peratusan aktiviti penyelidikan lebih besar dari pengajaran dan bilangan profesornya lebih ramai. Suatu masa nanti mungkin hampir 90% tenaga akademiknya adalah profesor.



Thursday, October 9, 2008

Coffee Bar dan Aktiviti Pensyarah

Minum kopi dalam waktu bekerja merupakan aktiviti berehat bagi kebanyakan profesen. Kalau di UK masa untuk minum adalah pada pukul 10 pagi, masa itu seolah-olah tiada kerja dilakukan kerana semuanya pergi minum teh atau kopi di bilik kopi atau coffee bar. Saya masih ingat lagi ketika di mengikuti kursus di GEC Marconi, seorang penceramah hanya meberikan kursus 10 minit sahaja dan berhenti kerana waktu minum kopi daha sampai. Tea time di universiti di UK merupakan suatu yang mesti di mana semua pensyarah berkumpul dan berbincang sebarang tajuk. Posgraduate students juga adalah termasuk dalam kategori itu bergaul dengan para pensyarah dan sering berjumpa di bilik kopi. Jadi kita tahu jika seseorang ada tau pun tidak, tunggu saja di bilik kopi. Bilik kopi hanya dibuka 30 minit sahaja, jadi jika terlepas masa itu tiada lagi tea atau kopi yang disediakan.
Di UKM dan mungkin di Malaysia sekarang bilik kopi sudah hampir tiada. Semua orang sibuk bekerja dan jika mahu minum kopi pergi ke kafeteria yang dibuka sepanjang masa, atau buat kopi sendiri di pejabat. Memang kalau hanya untuk minum sahaja cukuplah begitu, tetapi minum kopi di bilik kopi atau bilik rehat sebenarnya bukan sekadar minum. Interakasi antara pensyarah2 atau pelajar siswazah itulah yang penting. Percambahan fikiran atau perbincangan boleh terjadi semasa berjumpa dan minum kopi bersama. Sakarang pensyarah sudah kurang berinteraksi lagi, ramai penyarah yang tidak kenal antara satu sama lain secara mesra. Ada yang pejabat hanya bersebelahan tetapi tidak pernah berjumpa sampai seminggu atau sebulan kerana sibuk di pejabat masing-masing.
Bilik rehat di Fakulti Kejuruteraan UKM sudah hampir tutup, cuma tinggal sebesar bilik pensyarah sahaja, itu dipertahankan oleh pensyarah2 lama seperti Prof. Dr. Wan Ramli, Prof. Dr. Jaafar dan Prof. Dr. Yusof Ali dan lain-lain. Mereka ini sahaja yang masih merasakan bilik rehat itu penting untuk melepaskan stress dan membincangkan sesuatu isu semasa yang tidak semestinya hal-hal politik sahaja. Ada banyak perkara yang perlu dibicarakan, seperti masalah kuliah, penyelidikan, pentadbiran universiti dan sebagainya. Kadang-kadang pelajar juga tahu waktu bila dan macam mana nak cari pensyarahnya, jika masa rehat tetap pada jam 10 pagi di bilik rehat.
Sebenarnya perjumpaan masa minum tidak perlu lama, 10 - 20 minit sudah memadai tetapi setiap hari. Memang kerja di universiti sekarang terlalu banyak, sebab itulah perlu ada masa untuk berinteraksi yang bersistem dan bukannya di di kafeteria yang buka sepanjang masa.

Sunday, September 28, 2008

Dari FK kepada FKAB

Pertumbuhan Fakulti Kejuruteraan di Malaysia sekarang cukup banyak sekali. Ini menunjukkan bidang ini yang sememangnya sangat diperlukan terutama untuk menjadi negara maju. Tetapi kenapa UKM tudak menubuhkan Fakulti Kejuruteraan di awal penubuhannya. Semasa UKM ditubuhkan hanya Fakuti Sains, Perubatan, Sastra, Ekonomi dan Pengajian Islam sahaja yang dtubuhkan. Dekan pertama Fakulti sains ialah Allahyarham Prof. Dato' Dr. Ghazali Abdul Rahman dan kemudiannya Dato' Dr. Noramly Muslim, Prof. Ishak Tambi Chik (pernah menjadi NC USM selepas Tan Sri Musa). Pada tahun 1970 iaitu tahun UKM ditubuhkan hanya ada 3 universiti sahaja UM, USM dan UKM. Di Jalan Gurney terdapat maktab teknik yang dinaikkan taraf kepada institut iaitu Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) dan ditukar nama kepada Universiti Teknologi Malaysia(UTM), manakala di Serdang terdapat Institut Pertanian yang dinaikan traf universiti dan tukar nama Universiti Pertanian Malaysia(UPM). Fakulti Pertanian di UM ditutup dan dipindahkan ke UPM.
UKM tidak dibenarkan mempunyai Fakulti Kejuruteraan kerana UTM sudah mempunyai Fakulti Kejuruteraan selain UM. Penubuhan terlalu banyak fakulti kejuruteraan dikhuatiri tidak dapat cukup pelajar terutama kaum Bumiputra. Fakulti Kejuruteraan UM mempunyai kapasiti 200 kemasukan pelajar sahaja.
Walau bagaimanapun UKM memang mempunyai hasrat untuk mempunyai Fakulti Kejuruteraan. Jabatan Fizik dan Jabatan Kimia telah menjadi tempat di mana pensyarah bidang kejuruteraan diambil. Di Jabatan Fizik terdapat Dr. Zawawi Ismail, Dr. Zainul Abidin Shariff dan Dr. Hamid, di Kimia terdapat Dr. Arifin Aton, Dr. Tusirin, Dr. Salleh Suwandi dan Dr. Akram Che Ayob. Kemudianya dua unit ditubuhkan iaitu Unit Elektronik dan Unit Teknologi Kimia yang menjadi sebahagian dari Fakulti Sains. Dekan Fakulti Sains ketika itu ialah Prof. Dr. Zawawi Ismail. Kemudian, Fakulti Sains telah distruktur semula yang melahirkan Fakulti Sains Fizis dan Gunaan, Fakulti Sains Hayat dan Pusat Pengajian Kuantitatif. Dekan FSFG yang pertama ialah Prof. Dato' Dr. Zawawi Ismail dan kemudian Dato' Ariffin Aton. Unit Elektronik telah ditukar menjadi Jabatan Elektronik dan Unit Teknologi Kimia kepada Jabatan Teknologi Kimia. Pada tahun 1984 Fakulti Kejuruteran diluluskan penubuhanya dengan 4 jabatan iaitu Jabatan Kej. Elektrik, Elektronik dan Sistem, Jabatan Kej. Kimia dan Proses, Jabatan Kej. Mekanik dan Bahan serta Jabatan Kej. Awam dan Struktur. Penubuhan jabatan ketika itu disyaratkan supaya tidak bertindih dengan bidang kejuruteraan di UM dan UTM. Itulah sebabnya kenapa nama jabatan sebegitu rupa. Dekan pertama ialah Prof. Dato' Dr. Ariffin Aton (berjawatan Prof. Madya ketika itu).
Dr. Mahathir telah mengilhamkan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa semasa mula menjadi Perdana Menteri dah telah menugaskan Sdr. Anwar Ibrahim untuk melaksanakannya memandangkan beliau merupakan aktivis Islam yang terkenal ketika itu. UIAM mempunyai Fakulti Kejuruteraannya sendiri, tapi universiti baru yang lain masih belum boleh. UUM ditubuhkan tanpa fakulti kejuruteraan. UUM ditubuhkan dengan menumpuka kepada bidang ekonomi dan perniagaan. Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Awang Had Salleh telah dambil untuk menjadi NC yang pertama.
Atas keperluan semasa dan sebab-sebab politik pada thaun 1992 UNMAS dan UMS ditubuhkan dengan membenarkan penubuhan fakulti kejuruteraan. Dekan FK yang kedua Prof. Zawawi Ismail yang kemudianya merupakan TNC UKM telah diberi tugas untuk membangunkan UNIMAS, manakala Prof. Dato' Dr. Abu Hassan Osman yang juga merupakan TNC UKM telah ditugaskan untuk membangunkan UMS.
Fakulti Kejuruteraan UKM telah berkembang pesat. Pada tahun 1995/96 semasa itu dekannya ialah Prof Dr. Halim Shamsuddin dan saya merupakan salah seorang timbalan bersama Prof. Wan Ramli Wan Daud dan Prof. Rakmi Abdul Rahman. Penyusunan semula fakulti-fakulti di UKM telah dicadangkan, dan FK dicadangkan bergabung dengan FTSM sebagai Fakulti Kejuruteraan dan Sains Komputer. Tapi cadangan tersebut telah tidak dipersetujui oleh Dekan FK kerana mahu mempertahankan keiktisasannya. Salah satu fakulti yang menyahut cadangan bergabung ialah FST. Maka tiada lagi Fakulti Sains Fizis dan Gunaan(FSFG), Fakulti Sains Hayat(FSH) dan Pusat Pengajian Kuantitatif(PPK).
Apabila Jabatan Senibina ditubuhkan pada November 2002 (sama tahun dengan penubuhan IMEN), FK telah mempunyai satu jabatan yang bukan bidang kejuruteraan tetapi merupakan bidang iktisas(profesional). Oleh tu nama fakulti perlu ditukar untuk memperlihatkan yang kewujudan bidang senibina. Maka, setelah lama berhujah, nama baru untuk fakulti telah diputuskan dan telah mendapat kelulusan dari KPT pada Julai 2008. Nama baru ialah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB). Ringkasnya, evolusi FKAB adalah seperti berikut,
Unit di Fakulti Sains ---> Jabatan di Fakulti Sains Fizis dan Gunaan --> Fakulti Kejuruteraan --> Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.

Friday, September 26, 2008

UKM - dari Kampung ke Kemuncak ....


Dulu orang sering memberi jolokan kepada UKM dengan nama yang kurang baik seperti, Universiti kampung Malaysia, Universiti Kuat Mesyuarat, Universiti Kuat Makan, Unversiti Kecil, Universiti Kancil Malaysia(kereta Perodua Kancil), Universiti Kurang Menyerlah, dan lain-lain lagi. Pada awal penubuhan UKM dipandang sebagai universiti kelas dua. Pelajar UKM pernah tunjuk perasaan ketika itu membantah ucapan Almarhum Tunku Abdul Rahman yang mengatakan orang Melayu yang masuk UKM kerana tak dapat masuk UM. Kalau masuk UKM masa itu orang kata jaaadi lah asalkan masuk universiti. banyak orang yang merasakan apabila keluar dari UKM tak boleh kerja di luar negara kerana tak boleh cakap oghang putih. Demikian lah tanggapan masyarakat ketika itu kerana UKM menggunakan Bahasa Melayu. Siapa yang menggunakan Bahasa Melayu dianggap tidak boleh maju, itu sebab bila bercakap kena selit-selit Bahasa Inggeris seperti, husband I, darling I, father I .. begitu kuatnya Imperalisma Bahasa pada Orang Melayu dan Orang Malaysia.
Oleh sebab UKM sering dipandang rendah maka pihak UKM termasuk pelajarnya berusaha untuk membuktikan yang mereka sebenarnya setaraf dengan keluaran universiti lain. Peningkatan demi peningkatan telah tertonjol dari masa ke semasa. UKM telah dikenali diperingkat antarabangsa. Anugerah Kualiti Perdana Menteri, pernah menduduki ranking di bawah 200 di dunia mengatasi UM, nombor 8 di kalangan negara OIC pada 2007 berbanding UM pada nombor 12 dan banyak lagi. Pendidikan Kejuruteraan adalah yang tertinggi di Malaysia dari segi kualiti mengatasi universiti lain. dan banyak lagi kejayaan UKM yang cukup membanggakan sehingga graduan sekarang tidak segan silu malah bangga mengatakan dia dari UKM. Pimpinan UKM yang sentiasa dinamik melonjakkan lagi nama UK di persada dunia. UKM sekarang terus bergerak menuju kemuncak.

Demikianlah serba ringkas sejarah perubahan UKM dari sebuah Universiti Kampung Malaysia kepada Universiti Kemuncak ..Malaysia.

Monday, September 8, 2008

USM - Universiti APEX

Akhirnya debaran di kalangan calon-calon universiti APEX terjawab apabila pengumuman dibuat dua hari selepas pembentangan bajet 2009 pada 29 Ogos 2008. USM telah dipilih sebagai universiti APEX, setinggi tahniah diucapkan kepada USM. Ini bermakna USM telah diberi autonomi dalam semua segi seperti pengambilan pelajar, pensyarah, dan bajet universiti. Pensyarah dan kakitangan universiti APEX akan mendapat gaji betaraf dunia. Maknanya jika perrlu mengambil pensyarah luar yang hebat memang tidak menjadi masalah. Kualiti pelajar yang baik termasuk dari luar negara juga tidak menjadi masalah kerana mempunyai tarikan yang lebih. Yang penting kecemerlangan akademik dapat dicapai dan mencapai rangking dunia. NUS Singapura memang terkenal dengan kemampuan mererka menarik ramai tenaga akademik dari negara luar yang hebat-hebat, dan mereka berjaya menghasilkan penerbitan yang berkelas dunia. Tetapi Singapura saya rasa tidak melahirkan rakyatnya yang hebat. Bagi Singapura yang penting negaranya terkenal di seluruh dunia kerana itu adalah keperluan negara pulau tersebut. Apakah Malaysia begitu? tidak.....
Dalam tempoh sehingga 2025 USM disasarkan seharusnya berada pada ranking ke 100 di dunia. Tiada alasan boleh diberikan jika tidak boleh capai kerana segala keperluan telah diberikan. Pengiktirafan kepada USM telah membuat 3 universiti utama yang lain terutamanya Universiti Malaya terkedu. Salah satu kriteria yang digunakan ialah, universiti berkenaan mestilah sanggup mermbuat transformasi untuk menjadi cemerlang di dunia. Memang sepatutnya UM dilihat akan menjadi universiti APEX memandangkan ia adalah universiti yang tertua di Malaysia. Tetapi, menurut pengamatan saya UM sebenaranya sentiasa pasif dan selalu merasakan mereka berada dipuncak dan tidak merasakan perlu melakukan trfasfotmasi sejak dahulu lagi. UM bangga dengan banyak melahirkan tokoh-tokoh tanah air, termasuk beberapa Perdana Menteri, menteri2 dan Ketua Pembangkag di parlimen sekarang yang dahulu tidaklah begitu cemerlang dari segi akademiknya kecuali dari segi gerakan perlajar. UM sebelum ini sentiasa tidak siaga dan ridak begitu menyerlaah. Kebanyakan penyarahnya banyak mengasilkan penerbitan secara masing-masing demi memenuhi keperluan sebagai seorang pensyarah. Memang dari bilangan penerbitan UM adalah terbanyak tetapi kualiti penyelidikan tidaklah begitu baik, sehingga UKM yang bilangan penerbitannya lebih sedikit dari UM berada pada rangking ke-8 berbanding UM 12 dalam negara OIC pada tahun 2007.
Memang ramai yang tidak mersa terkejut jika UM menjadi APEX, tetapi apabila USM terpilih UKM dan UPM turut merasa terkedu. USM memang mempunyai perancangan yang baik dan sentiada proaktif dalam hal tersebut. UKM mempunyai presentasi yang terbaik semasa penilaian tetapi mungkin ada faktor-faktor lain yang membuat pemilihannya tertunda. Elok juga UKM tidfak terpillih untuk yang petama kerana ini memberi peluang untuk melihat apakah USM benar-benar bersedia dan dapat membuat persediaan selanjutnya untuk 2015.
Sebagai universiti APEX, aspek kecermerlangan adalah paling utama, pensyarah yang kurang produktif akan diberi ingatan dan boleh dinasihatkan berhenti. Maka banyaklah permohonan darai USM memasuki universiti lain kerana tak mampu menanggung beban. Tetapi baginyang aktif ini adalah yang ditunggu-tunggukan. Soalnya berapa ramai yang aktif dan berapa yang pasif. Agenda untuk mendidik anak bangsa juga mungkin kurang menjadi keutamaan apalagi mendaulatkan Bahasa Melayu seperti yang dibanggakan oleh UKM.
Saya merasakan strategi UKM mengutamakan Bahasa Malaysia juga mungkin dibimbangkan tidak mampu untuk membuat transformasi, kerana ianya selalu menjadi kekangan. Tesis kita tidak dirujuk oleh orang luar kecuali yang membuat Pengajian Melayu. Walaupun kita boleh menghujah pandangan ini tetapi itu adalah hakikatnya.
Samada kita APEX atau tidak tidak, UKM harus terus meluncur ke hadapan dan saya mempunyai keyakinan UKM mampu melakukannya, kerana UKM adalah universiti Perdana.

Wednesday, August 27, 2008

UKM - Universiti Perdana

Di Malaysia UKM merupakan universiti yang ketiga ditubuhkan selepas Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia(USM). Dalam pelumbaan untuk menjadi universiti APEX, UKM turut mengharapkan terpilih keranan prestasi UKM sekarang adalah bertaraf dunia, tetapi adalah menjadi kelazimannya universiti tertua, UM dirasakan mempunyai harapan yang cerah untuk pengiktirafan tersebut. UKM ditubuhkan pada tahun 1970 sebagai kemuncak pendidikan kebangsaan yang mendaulatkan Bahasa Malaysia iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Walaupun UKM adalah yang ketiga dari segi ditubuhkan, tetapi keujudanya adalah atas perjuangan masyarakat yang mahu melihat satu universiti nasional yang beridentitikan kebangsaan.
Sebenarnya UKM adalah universiti perdana, bukan sahaja kerana prestasinya tetapi ianya sentiasa berkedukan utama di Malaysia. Di awal penubuhan UKM, canselor pertamanya adalah seorang Perdana Menteri, iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan majlis UKM pernah dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad yang juga merupakan Perdana Menteri pada 1982-2002. UKM juga merupakan universiti yang terbanyak menghasilkan syarahan perdana, dan pada tahun ini telah melahir bilangan graduan PhD paling ramai di Malaysia iaitu seramai 183 orang.
Jadi UKM tidak perlu merasa rendah diri jika tidak terpilih sebagai universiti APEX kerana UKM sudahpun merupakan Universiti Perdana.