Wednesday, January 21, 2009

Kenangan bersama Dr. Hajime Takakubo dan di SHONO Lab. Tokyo - IP-PO-IP-PO

Tidak dapat dinafikan bahawa pencapaian saya dalam bidang mikroelektronik sedikit sebanyak adalah berkait rapat dengan Shono Lab. di Sophia University, Tokyo dan juga inspirasi setelah selesai PhD dari Durham University di akhir 1988 di bawah bimbingan Dr. Morant. Sebenarnya saya telah bercita-cita untuk mewujudkan makmal semikonduktor (cleanroom) di UKM selepas mendapat MSc pada 1980 dalam bidang mikroelektronik dari University College of Wales, (sebahagian dari University of Wales).

'Kampai', Takakubo dengan bakal isterinya Sakine yang juga merupakan pelajar Prof. Shono semasa meraikan kedatangan kami ke makmalnya di sebuah restoran di Tokyo. (1991)

Pada 1991 saya mendapat peluang ke Jepun di bawa biaya Asian Development Bank(ADB) dan memilih Sophia University setelah berjumpa Prof. Shono di Malaysia ketika beliau menghadiri persidangan anjuran MIMOS. Untuk mewujudkan makmal mikroelektronik, terutama proses adalah terlalu mahal, tetapi Prof. Shono telah berkata kepada saya dalan Bahasa Jepun, "ip-po-ip-po" atau step by step. jadi, apa yang terdapat sekarang adalah kerana ip-po-ip-po, jika tidak saya dah tukar ke bidang lain yang lebih murah untuk menghasilkan paper untuk kerjaya akademik.

Di Sophia University, nama makmal adalah nama profesor, jadi saya bekerja di makmal Shono yang kesemua pelajarnya ada di situ bersamanya. Pada mulanya saya berasa janggal kerana duduk sebilik dengan profesor dan pelajar-pelajarnya. Keadaan di dalam bilik(makmal) tersebut senyap dengan masing-masing bauat kerja sendiri kecuali ada panggilan telefon atau ada perkara penting yang mahu dibincangkan. Jika ada panggilan telefon hanya research assistant yang merupakan pembantu kepada Prof. Shono yang bercakap, yang lain tak ambil tahu. Apabila Shono pulang atau ada meeting, tidak ada pelajarnya yang akan ke mejanya nak cari rahsia bosnya. Apabila sampai masa minum, tanpa disuruh ada pelajarnya yang sukarela buatkan kopi untuknya. Ketika saya di sana Prof. Shono mancapai usia 59 tahun, yang memeranjatkan secara tiba-tiba terdapat sekumpulan pelajarnya membawa kek harijadi dan mengucapkan selamat harijadi kepadanya dalam upacara yang ringkas. Tidak seperti di sini bila sampai harijadi (jka mereka tahu) biasanya pelajar akan tanya bila nak belanja atau bila nak buat jamuan.
Sebenarnya apa yang nak saya ceritakan di sini ialah berita dukacita iaitu salah seorang pelajar Shono telah mati dibunuh pada 15 Januari 2009. Terdapat beberapa pelajar PhD di bawah Prof. Shono yang saya ingat dan pernah berurusan langsung, yang paling rapat ialah Akihiro Hasegawa, Hajime Takakubo, Akiyama, Katsumasu, Sakine, Phang (dari Vietnam), Chong(dari Taiwan) dan Kang(sebagai Reseach Assistant dari Korea).

Selesai PhD dari Shono Lab. Dr. Takakubo bertugas sebagai pensyarah di Chuo University, Tokyo sehinggalah menjadi seorang profesor. Pada pagi 15 Januari saya dapat e-mail dari Dr. Hasegawa memberitahu yang Prof. Dr. Takakubo telah dijumpai mati terbunuh di tandas berdekatan dengan pejabatnya. Mistri pembunuhan beliau masih menjadi tanda tanya kerana Takakubo yang saya kenal dan mengikut laporan polis Jepun juga adalah seorang yang baik dan tidak punyai musuh. Beliau telah ditikam sebanyak 10 kali mengikut laporan Asahi Shinbun. Kematian beliau pada umur 45 tahun adalah sangat mengejutkan dan menyedihkan. Saya pernah bekerja agak rapat dengan Dr. Takakubo di Shono lab. semasa lawatan kedua saya pada awal 1993. Kalau dulu, membunuh diri (Harakiri) adalah biasa di Jepun, tetapi membunuh orang di zaman moden ini adalah perkara di luar dugaan. Saya juga bimbang perkara yang sama boleh berlaku di Malaysia.

2 comments:

Anonymous said...

Salam Prof.,
Kematian itu pasti...tetapi dibunuh dengan kejam amat mendukacitakan. Ini link yang saya baca (teringin sangat nak tahu lebih lanjut)http://www.yomiuri.co.jp/dy/national/20090118TDY02301.htm
Juliana

Burhanuddin Yeop Majlis said...

Takakubo yg saya kenal memang baik dan lemah lembut. Mungkin ada student atau staf yang tak puas hati.. agaknya. Dulu pun ada student yang tak sihat mental yang saya jaga masa jadi residen felo, risau juga dibuatnya. Dia masuk bilik selalu tangannya di belakang.He.. he. Tapi sekarang semua student saya sihat rohani dan jasmani.