Tuesday, July 14, 2009

PPSMI: Kemelut antara Jati diri dan Realiti

PPSMI diperkenalkan pada tahun 2003 ketika Dr. Mahathir masih Perdana Menteri. Memang tidak ramai yang berani untuk menukar Bahasa penyampaian dari BM kepada BI kerana ia merupakan isu sensitif dan boleh dianggap sebagai penghianat bangsa. Bahasa adalah jiwa bangsa. Tetapi Dr. M lebih mengutamakan bangsa dari bahasa. Bangsa yang maju dengan sendirinya bahasanya akan dihormati. Melayu akan tetap Melayu, Cina akan tetap Cina, begitu juga India akan tetap India walaupun meggunakan bahasa Inggeris untuk tujuan mendapatkan ilmu yang banyak sumber rujukanya dalam bahasa Inggeris.
Semua bangsa bangga dengan bahasanya sendiri. Kita mahu Bahasa Melayu yang telah dijadikan Bahasa Malaysia menjadi bahasa ilmu, dan itulah peranan UKM semasa ditubuhkan. Tetapi, untuk sumber ilmu terdapat bahasa-bahasa yang sudah menjadi media utama, tanpa menguasai bahasa tersebut kita menjadi sukar untuk menguasai bidang tersebut.
Saya yang dididik sejak dari darjah satu hinggalah tahun akhir universiti dalam Bahasa Melayu. Pada masa zaman saya bersekolah, terdapat dua aliran, aliran Inggeris dan aliran Melayu sehinggalah dua lairan ini dijadikan hanya satu aliran sahaja iaitu aliran kebangsaan, selepas tahun 1974 (kalau tidak silap). Ketika itu, sekolah aliran Melayu memang mempunyai masalah untuk mengajar matematik dan sains kerana ketiadaan guru yang boleh mengajar dalam Bahasa Melayu sehingga terpaksa meminta bantuan Kerajaan Indonesia meminjamkan guru bagi mengajar matematik dan sains. Saya belajar dari guru Indonesia, saya masih ingat guru yang mengajar fizik namanya pak Tomi, biologi pak Alfred Manurung, dan matematik pak Sogianto. Sekolah aliran sains tidak banyak seperti sekarang, iaitu kurang dari 10 sekolah di seluruh Negara. Buku teks yang digunakan masih dalam Bahasa Inggeris dan beberapa buku yang diterjemah dengan bahasa Melayu yang sukar difahami oleh pelajar Melayu sendiri.
Di peringkat awal pengunaan BM memang terdapat banyak masalah dari segi istilah sains dan matematik. Buku rujukan kesemuanya dalam BI. Ahli-ahli bahasa termasuk dari dalam bidang sains dan kejuruteraan telah bertungkus lumus menggubal istilah. Saya pun sempat menjadi ahli jawatkuasa istilah sains UKM dan juga DBP. Pada masa itu penyelidikan tidak banyak atau boleh dikatakan tiada, jadi aktiviti perbincangan peristilahan merupakan aktiviti yang agak utama kepada pensyarah-pensyarah sains dan matematik. Hasilnya banyak istilah telah dicipta walaupun maknanya kurang tepat. Memberi kuliah diwajibkan menggunakan BM dengan istilah yang telah dicipta atau dicipta sendiri. Masa banyak digunakan untuk menulis nota dalam BM dengan sumber rujukan buku berbahasa Inggeris, mencari istilah lebih sukar daripada memahami buku dirujuk. Saya pernah mempertikaikan beberapa istilah yang kurang tepat dan berbeza untuk bidang sains dan kejuruteraan. Ahli istilah bidang kejuruteraan kebanyakannya terdiri dari ramai pensyarah muda dan telah mendapat pendidikan dari England. Ahli istilah yang mewakili bidang disebut pakar bidang, yang duduk bersama dengan ahli bahasa. Kekhairahan mencari istilah Melayu kadang-kang membawa kepada terjemhan yang kurang tepat dan sukar difahami sehingga orang Melayu sendiri tidak faham dan terpaksa merujuk kepada sumber asalnya dalam Bahasa Inggeris. Jadi, masalahnya ketika itu bukan tak faham Bahasa Inggeris tetapi masalah untuk menyampaikannya dalam Bahasa Melayu dengan istilah yang difahami.
Pada masa itu sumber rujukan hanyalah dari buku-buku yang terdapat di perpustakaan. Usaha telah dilakukan untuk menambah bilangan buku teks dalam BM, saya sendiri telah menulis 5 buah buku universiti dalam Bahasa Malaysia dan digunakan di UKM. Tetapi perkembangan teknologi dan buku yang terhasil dalam BI terlalu cepat sehingga tidak mampu diterjemah. Dahulu sesuatu maklumat itu agak lambat untuk dicari atau disebarkan berbanding zaman ICT sekarang yang maklumat boleh dicapai dengan pantas melalui berbagai search engine seperti google dan sebagainya. Berikut saya turunkan contoh carian Google yang dilakukan dengan BM dan BI,

Istilah BM =Carian Google ,Istilah Inggeris = Carian Google
Pemalar = 11,100, Constant =161,000,000
Sains = 14,100,000, Science = 1,010,000,000
Separuh pengalir = 936, Semiconductor =38,800,000
Pengalir =18,600, Conductor = 37,000,000
Pearuh = 237, Inductor = 2,670,000
Penebat =10,400, Insulator =5,290,000
Litar Terkamir = 1,620, Integrated circuits = 8,650,000
Pemberbilang getar = 50, Multivabrator = 500,000
Perintang = 28,400, Resistor = 9,250,000
Pemuat = 29,700, Capacitor = 12,200,000
Penguat = 2,070,000, Amplifier = 28,600,000
Pengayun = 1,880, Oscilator = 493,000
Perkakasan = 337,000, Hardware = 412,000,000
Perisian = 943,000, Software = 1,190,000,000
Cakra keras = 133,000, Hard disk = 80,400,000
Jangka suhu = 681,000, Thermometer = 16,600,000
Keberintangan = 191, Resistivity = 4,140,000

Jumlah carian dengan istilah BM 18,367,114 iaitu bersamaan dengan ~1% berbanding dengan jumlah carian dengan istilah Inggeris ialah 3,017,593,000. Maknanya, maklumat yang diperolehi hanaya 1% sahaja jika dicari dengan istilah BM, dan ini akan meningglkan kita jauh ke belakang kecuali mereka yang sudah tahu istilah BI, iaitu kebanyakan pejuang bahasa sekarang. Anak-anak kita khususnya orang Melayu akan kerugian. Tetapi, sumber maklumat dalam Bahasa China adalah banyak, mereka tidak rugi menggunakan bahasa ibunda malah memudahkan untuk mendapat ilmu dari China dan Inggeris. Orang Melayu tidak ada sumber rujukan dalam Bahasa Melayu. Orang Melayu akan tertinggal dalam mencari maklumat ilmu sains.
Setelah lebih 30 tahun iaitu sejak 1970 hingga 2003, BM digunakan sebagai bahasa penyampaian dalam mengajar sains dan matematik di sekolah dan juga universiti. Masalah penyampaian mungkin tidak menjadi masalah, cuma istilah yang digunakan agak mengelirukan dan tidak pun digunakan diluar universiti.
Hampir kesemua industri kita adalah industri multinasional, dan mereka menggunakan istilah Inggeris. Kerajaan tidak boleh memaksa mereka menggunakan istilah Melayu, hatta syarikat tempatan pun tidak mahu mengunakan istilah Melayu kerana katanya mereka juga berhubung dengan syarikat antarabangsa. Jadi keluaran universiti apabila keluar tidak langsung menggunakan istilah BM semasa belajar. Perkara ini adalah berbeza dengan kes di Korea dan Jepun, mereka mempunyai syarikat mereka sendiri, maka mereka memang menggunakan bahasa Korea atau Jepun. Jikalau syarikat mereka buka cawangan di Malaysia, mereka akan menggunakan bahasa Inggeris bukan Korea atau Jepun. Adakah syarikat kita yang sama tarafnya dengan mereka, jawapannya tiada. Saya pernah disangkutkan di Jepun dan pernah menjadi Profesor Pelawat di Korea. Semasa di Jepun, memang sukar untuk berbincang dengan pelajar di sana kerana mereka tidak fasih Bahasa Inggeris kecuali Bahasa Jepun, tetapi mereka tahu istilah saintifik dalam Bahasa Inggeris. Kalau saya gunakan istilah BM mereka langsung tak faham. Masalah orang Jepun dan Korea, mereka tidak boleh mengungkapkan sesuatu dengan mudah dalam Bahasa Inggeris. Orang Melayu atau Malaysia tidak mempunyai masalah tersebut, sehingga di rumah pun guna Bahasa Inggeris walaupun tak tepat nahunya. Isteri tidak suka jika suaminya minta "madu" tetapi "honey" untuk makan roti(contoh sahaja). Maknanya Bahasa Inggeris bukanlah sesuatu yang sangat asing bagi orang Malaysia, berbanding orang Jepun dan Korea.
Saya rasa Kerajaan memang sedar perkara ini, tetapi sebagai suatu bangsa memang kita rasa tidak mempunyai jati diri jika kita menggunakan bahasa lain selain bahasa kita walaupun realitinya tidak. Saya bersetuju bahasa ibunda digunakan di sekolah-sekolah sebagai bahasa komunikasi untuk memudahkan pemahaman terutama untuk mereka di pendalaman, tetapi untuk peringkat pengajian tinggi saya menyokong menggunakan Bahasa Inggeris demi kemajuan bangsa. Mengikut Tan Sri Muhyiddin pemansuhan PPSMI hanyalah untuk sekolah bukan untuk peringkat tinggi. Kerajaan terpaksa akur dengan kehendak pejuang bahasa yang mewakili rakyat. Oleh kerana rakyat harus didahulukan (1 Malaysia) PPSMI dimansuhkan, walaupun realiti sekarang untuk maju di zaman ICT sebenarnya tidak...Semasa saya di Korea terdapat profesor menggalakkan pelajarnya menulis tesis dalam BI untuk kebaikkan pelajar tersebut. Di Holand yang saya telah pergi juga telah membenarkan penulisan tesis dalam BI. Telah berlaku perubahan sikap terhadap BI di sesetengah negara kerana tuntutan globalisasi dengan tidak begitu rigid dalam perlaksanaan bahasa.
Saya rasa Dr. M telah berfikiran jauh dan berdasarkan kesan globalisasi di mana maklumat tersebar begitu pantas, tidak seperti dahulu. Pendekatan Kerajaan sekarang saya rasa tidak menolak 100% PPSMI tetapi bertolak ansur untuk memenuhi dua kepentingan atau tuntutan, rakyat (jati diri) dan realiti.

5 comments:

-awin- said...

fakta carian google prof sgt menarik... sangat sedikit maklumat diperolehi dlm bahasa melayu.

rina said...

sebenarnya PPSMI ade baik dan buruknya..di peringkat sekolah rendah,mungkin BM lebih sesuai dijadikan sbgai bhasa pengantar,tp di peringkat universiti,penggunaan BI lebih meluas,mungkin pangajaran sains n math dlm BI lebih sesuai jika diterapkan ketika peringkat sekolah menengah lagi..untk kemudahan mereka ketika belajar di universiti nnti..(cam skema je ayat;p)

Prof. Dato' Dr.Burhanuddin Yeop Majlis said...

Awin dan Rina,
Terima kasih atas pandangan. Teruskan memberi komen untuk kebaikan.

akademia picisan said...

pandangan Dr sangat lemah. apakah Dr tak punya keyakinan bahasa melayu dapat diguna di IPT? apakah Dr tak punya impian bahawa bahasa melayu juga setanding dengan bahasa2 moden yang lain, seperti jerman, sepanyol, dll? sekurang2nya, di jerman, ada juga pelajar asing yang mampu menulis tesis dalam bahasa jerman. tapi, kenapa keadaan ini langsung tak berlaku di malaysia?

jawabnya, kerana kita tak yakin dengan masa depan bahasa kita sendiri. jika tanpa keyakinan, memang patutlah kita awal2 menyerah kalah pada globalisasi. bukan kita menelan globalisasi, tapi glabalisasi yang menelan kita.

Umi said...

Prof,
Sy terpanggil untuk memberikan komen kepada post Prof ni. Semasa sy membuat tesis Master dulu, masalah istilah memang masalah yang besar juga. Selepas tesis siap ditulis, sy sendiri tidak faham teks yang saya ajukan ke PPS kerana terpaksa menggunapakai banyak istilah yg jarang digunakan tetapi memberi maksud yg lebih tepat untuk penerangan/perbincangan sy.

Sy rasa daripada menggunakan istilah yang diambil daripada bahasa-bahasa etnik yang tidak diketahui umum, mungkin lebih baik sekiranya kita gunakan istilah yang ditukar secara terus daripada bahasa asal seperti yang dilakukan oleh penterjemah B.Indonesia dan B.Jepun kerana lebih senang untuk difahami, terutamanya untuk bidang sains dan teknologi, suatu bidang yang lebih memementingkan penyampaian maklumat (berbanding dengan bidang sastera yang lebih mementingkan kecantikan/kehalusan bahasa).