Wednesday, November 26, 2008

Pengalaman saya dengan IEEE Electron Devices Chapter (ED Malaysia) 1994-2006

Saya menjadi Pengerusi Electron Devices (ED) Chapter IEEE Malaysia sejak 1994 atas permintaan Dato' Dr. Muha Pandak Ahmad yang merupakan Pengerusi IEEE Malaysia ketika itu. Sebelum itu ED dipengerusikan oleh Allahyarham Prof. Dr. Zahari Mohd Darus(ketika itu profesor madya) yang merupakan Pengerusi Pengasas ED Malaysia tetapi melepaskan jawatan selepas penganjuran 1992 IEEE International Conference on Semiconductor Electronics (ICSE92) (yang pertama). Bilangan ahli ED seluruh Malaysia adalah kecil pada masa itu, sebenarnya tawaran Dr. Muha itu saya tidak mahu, tetapi beliau memujuk kerana tiada calon lain dan akhirnya saya setuju. ISCE92 dipengerusikan oleh Dr. Zahari dan Dr. Sahbudin ketika itu sebagai pengerusi persidangan(teknikal) diadakan di PWTC, Kuala Lumpur. Itu merupakan pengalaman pertama bagi ED dalam menganjurkan persidangan. ICSE92 tidak banyak paper, hanya 27 sahaja, tapi kebanyakan pesertanya adalah dari luar negara termasuk Prof. S.M. Sze dari Taiwan Prof. Cary Yang dari Santa Clara, Prof. Jong Duk Lee Korea dan banyak lagi. Orang Malaysia sangat kurang kerana tiada hasil penyelidikan yang sesuai untuk dibentangkan kecuali hasil kerja semasa PhD yang baru selesai termasuk saya sendiri yang dibentangkan oleh penyelia saya Dr. M. J. Morant dari Durham University. Dr. Hasegawa dari Shono's lab Sophia University, Tokyo juga datang yang kemudian terus bekerja dengan kumpulan mikrolektronik di UKM(attachement) selama 6 bulan. Selama dua tahun ED tiada pengerusi dan ICSE 94 tidak dapat dianjurkan. Aktiviti ED dalam tempoh tersebut hanyalah penganjuran kursus-kursus pendek yang mendapat pulangan yang banyak.

ICSE96 merupakan persidangan antarabangsa pertama yang saya pengerusikan yang diadakan di Penang. Pada masa itu paper dari Malaysia masih lagi terhad bilangannya, jumlah paper keseluruhan hanya 65. Sebagai negara penganjur sepatutnya Malaysia mempunyai bilangan paper yang banyak. Ketika itu tidak banyak aktiviti penyelidikan dalam bidang semikonduktor di Malaysia. Pihak industri hanya menumpukan pada packaging sahaja, dan itu sebablah kursus pendek berkaitan dengan packaging cukup banyak mendapat sambutan dari INTEL, Motorola dan AMD.

Pada tahun 1997, National Symposium on Microelectronics (NSM) dianjurkan bertujuan untuk menggalakan dan melatih penyelidik dan pensyarah tempatan bagi menyertai ICSE yang seterusnya. NSM97 diadakan di KRU UKM dan dirasmikan oleh Dekan Kejuruteraan dengan hanya 33 paper dari seluruh Malaysia. Selepas perancangan ICSE98 dibuat untuk tahun 1998, saya terpaksa ke GEC Marconi, UK selama 9 bulan yang berakhir pada Oktober 1998, tapi tidak melepaskan pengerusi ED dan terus berkomunikasi dari UK, dan Prof. Sahbudin selaku vice chairman meneruskan di Malaysia. Ketika itu berlaku kegawatan kewangan serantau. Pada bulan Julai atau Ogos setiap tahun pihak IEEE US meminta maklumat terkini siapakah pengerusi ED Malaysia yang baru untuk diperbarui maklumat. Saya telah minta pandangan dari Malaysia yang saya sedia melepaskan jawatan jika ada yang mahu mengganti. Tiada yang menjawab kecuali Prof. Mohamad Mat Salleh dan Prof. Mohamad Yahaya yang minta saya meneruskan sahaja mempengerusi ED Malaysia. Saya menggunakan kesempatan semasa di GEC Marconi untuk membawa seorang speaker untuk kursus pendek semasa ICSE98 yang di adakan di Equatorial Bangi.
Seterusnya NSM99 diadakan di Pangkor, ketika itu paper yang berkualiti sudah mula banyak khususnya dari UKM, UM, MIMOS dan industri semikonduktor. Prof. Arora buat pertma kalinya diundang sebagai speaker utama. ICSE2000 diadakan di Guoman Resort, Port Dickson dan penyertaan masih lagi kecil tetapi paper dari Malaysia sudah mula menguasai bilangan. Prof Iwai dari Tokyo Institute of Technology selaku Electron Device Chairman seluruh dunia turut hadir untuk mesyuarat ED dan sebagai speaker utama. ICSE2000, walaupun kecil dengan peserta luar yang sedikit tetapi mendapat sponsor dari MIMOS, On Semiconductor dan Kerajaan Negeri Sembilan. Tahun 2000 merupakan tahun alaf baru dan peruntukan penyelidikan kepada universiti masih kecil dan dipenghujung RMK7.
NSM2001 diadakan di Awana Genting dengan bilangan paper yang banyak termasuk dari Singapura. NSM2001 dibuat dengan sesi khas fotonik dengan tujuan untuk menarik sponshorship dari kumpulan fotonik Malaysia (UM, UKM, SIRIM, UTM) yang ketika itu banyak duit dari geran IRPA, tetapi malangnya strategi itu tidak berjaya kerana tiada sponsorship dari kumpulan tersebut kecuali bilangan paper dalam bidang tersebut agak banyak.
ICSE2002 diadakan di Penang betempat di Gurney Hotel. Tahun 2002 adalah tahun di mana saya mendapat geran penyelidikan yang besar tahun penubuhan IMEN. Kali ini ICSE dibuat dengan kerjasama USM sebagai wakil di sebelah utara. Walau bagamanapun operasinya masih dikawal di ibu pejabat ED di IMEN, UKM. Pada masa itu saya mempunyai kemudahan yang cukup baik dari segi kewangan, tenaga manusia dan pejabat kerana saya juga sebagai Pengarah Institut. Hasilnya ICSE2002 telah mengumpulkan sebanyak 121 paper, suatu kenaikan mendadak dari 52 paper tahun 2000 bersamaan dengan 133%. Sponsorship dari sayarakiat juga agak banyak terutama MEMS Technology Sdn Bhd sebagai penaja utama dan beberapa syarikat lain. Nama ICSE sudah menjadi terkenal kepada penyelidik semikonduktor terutamanya di Malaysia dan juga antarabangsa melalui IEEE yang beribu pejabat di New Jersey USA. Saya pernah menyebut tentang kejayaan ICSE2002 kepad Prof. Hiroshi Iwai semasa di Tokyo, tetapi beliau menanyakan bagaimana dengan bilangan ahli ED Malaysia kerana bilangan keahlian ED di Malaysia cukup kecil. Bagi beliau penambahan ahli ED lagi penting daripada persidangan yang hebat tetapi AJKnya bukan ahli IEEE khususnya ED.
NSM2003 dianjurkan di Perlis yang merupakan pertama kali bagi sejarah Negeri Perlis suatu persidangan bersifat teknikal diadakan. Persidangan tersebut adalah dengan kerjasama KUKUM yang mahu menonjolkan kewujudannya. Silterra, KUKUM, Kerajaaan Negeri Perlis dan IMEN merupakan penaja utama. Persidangan tersebut mendapat liputan akhbar Berita Harian versi Utara. Sekarang paper yang dibentang sudah semakin berkualiti untuk peringkat Kebangsaan. Penyertaan dari Singapura terutama Chartered Semiconductor juga dibenarkan.
Pada tahun 2004, ED sekali lagi menganjurkan persidangan antarabangsa iaitu ICSE2004 yang diadakan di Mines Beach Resort Kuala Lumpur. Penglibatan IMEN cukup banyak ketika itu dimana terutama staf penyelidikan yang buat khusus untuk ICSE2004. Buat pertama kalinya taraf "in-cooperation" telah tukarkan kepada "supported by" bagi IMEN,UKM. Bilanagn paper telah meningkat kepada 150 dengan 5 invited speaker dari University of Sheffield, Thailand, Belgium, dan Indonesia. Dato' Seri Rafidah Aziz, Menteri Perdanagan Antarabangsa dan Industri telah merasmikan persidangan tersebut. Silterra, MBE Technology Malaysia, dan Telekom Malaysia merupakan penaja utama disamping penglibatan syarakit dalam pameran-pameran telah menghidupkan persidangan tersebut. Di akhir persidanga saya terpaksa ke Seoul Korea bersama UKM dalam Pameran Inovasi Antarabangsa (SIIF) 2004. Di Korea saya sempat melawat Prof. J. D. Lee di Seoul National University yang juga baru pulang dari Malaysia menyertaan ICSE2004. Beliau telah memuji kejayaan ICSE2004 yang telah meningkat berbanding ICSE2002 yang beliau juga hadiri.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya sudah mahu melepaskan jawatan sebagai Pengerusi ED Malaysia tetapi tiada yang mahu menggantikan. Keputusan mesyuarat agung ED memutuskan saya terus sebagai pengerusi untuk 2005. Seperti biasa tahun ganjil merupakan tahun penganjuran persidangan Kebangsaan. NSM2005 dianjurkan dan kali ini di Kuching Sarawak. dengan kerjasama UNIMAS. Kali ini IMEN,UKM dinaikkan taraf sebagai penganjur bersama ED Malaysia. Prof. J.D. Lee dari Seoul National University, Korea dan Dr. Joh Nelson dari 1st Silicon sebagai invited speaker. Bilangan paper meningkat kepada 90 termasuk penyertaan dari Singapura khususnya Chartered Semiconductor. Persidangan tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak Dr. George Chan. NSM2005 telah mendapat liputan meluas dalam beberapa akhbar di Sarawak. Temurama dengan mengena nanoteknologi juga turut dimuatkan. Selepas NSM saya pergi ke Brisbane membentangkan 3 kertas kerja di SPIE. Di sana saya sekali lagi memikirkan untuk melepaskan jawatan kerana sudah terlalu lama. Malangnya saya diminta meneruskan sekali lagi sebagai pengerusi ED yang diputuskan dalam mesyuarat agung ED yang adakan di UPM. Ini bermakna saya akan terus mempengerusikan ICSE2006. Sebenarnya jika ED mempunyai ahli yang ramai pengerusi ED dan pengerusi persidangan boleh dari individu yang berlainan dan tidak ramai yang mempunyai kemudahan sekretariat.
IMEN, UKM bertindak sebagai penganjur bersama EDS untuk ICSE2006. Selaku ketua projek MEMS dan Pengarah IMEN saya telah menggunakan kemudahan tersebut untuk menganjurkan ICSE2006. Untuk itu saya telah membahagikan prosiding ICSE2006 kepada dua bahagian iaitu "Semiconductor Devices and Integrated Circuits" dan " MEMS sensors, Actuators and Nanoelectronics". Ini bertujuan untuk justify penggunaan staf MEMS dan IMEN yang tugasnya 100% dalam ICSE2006. Hasilnya ICSE2006 yang diadakan di Prince Hotel, Kuala Lumpur telah mengumpulkan sebanyak 225 paper dengan 69 daripadanya berkaitan dengan MEMS dan Nanoelektronik. Pihak UKM telah menyumbang banyak dari segi kewangan dan tenaga khususnya IMEN, dan Naib Canselor UKM Prof. Dato' Dr. Sharifah Hapsah telah turut hadir dalam majlis perasmian persidangan yang diadakan sempena conference dinner. Perasmian adalah oleh Menteri Pengajian Tinggi tetapi telah diwakilkan oleh Timbalan Ketua Setuauasaha Kementerian Dato' Dr. Mohamad Taib. ICSE2006 dibuat sempena tahun IMEN dirasakan telah mencapai taraf dunia sebagai institusi penyelidikan. Upacara perasmian malam itu cukup gilang gemilang dan bertambah manis apabila UKM dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri tahun 2006.
Tahun 2006 merupakan tahun terkahir saya sebagai pengerusi ED Malaysia setelah hampir 14 tahun menerajunya sejak 1994. Menurut perlembagaan IEEE Malaysia yang dipinda pada tahun 2006 seseorang tidak boleh menjadi pengerusi lebih dari dua tahun berturut-turut. Pindaan perlembagaan tersebut telah membolehkan saya melepas jawatan dan membolehkan orang lain mengambil alih. Saya telah menjadi pengerusi chapter yang paling lama di bawah ~6 pengerusi IEEE Malaysia. Sehingga ada yang mengatakan saya nak pegang selama-lamanya, sebenarnya semasa pemilihan dalam mesyuarat agung tak ada yang mahu atau calon layak tak datang mesyuarat. Untuk 2007/2008 ED Malaysia telah memilih Prof. Dr. Sahbudin Shaari sebagai pengerusi yang baru dan memberi peluang kepada saya untuk berehat daripada mumikirkan penganjuran persidangan tiap-tiap tahun. Dari segi untuk menarik penyertaan luar negara, saya berpendapat ICSE (persidangan antarabangsa)hanya sesuai diadakan di Kuala Lumpur atau Penang manakala NSM yang sekarang sudah ditukar kepada RSM bolehlah dibuat di mana-mana seluruh Malaysia.
Saya melihat aktiviti penyelidikan dalam bidang semikonduktor dan yang berkaitan sudah mempunyai peningkatan yang ketara di Malaysia dan ICSE merupakan platform untuk perjumpaan di kalangan penyelidik dan akademia di Malaysia. Status prosiding yang berindeks Scopus akan menjadikan ICSE terus menjadi tempat kepada para akademia membentangkan hasil penyelidikan mereka.
Sekian sedikit sebanyak perkembangan ED Malaysia dan pengalaman saya selama menjadi pengerusinya dari 1994 hingga 2006. Satu pengalaman yang cukup manis terutama dapat melihat perubahan pada ahli penyelidikan semikonduktor di Malaysia. Dari terlalu sedikit aktiviti penyelidikan kepada keadaan yang cukup membanggakan. Sehingga ICSE mahupun NSM/RSM sentiasa terlebih paper untuk dibentangkan. Sekarang aspek kualiti pula harus dijadikan keutamaan.



Ucapan terakhir sebagai pengerusi ED dan ICSE.

Sunday, November 23, 2008

Latar diri

video

Buku syarahan

Kepada yang tidak dapat hadir syarahan perdana saya boleh mendapatkan buku syarahan tersebut daripada Penerbit UKM. Buku tersebut membahaskan tentang micro electromechanical systems (MEMS) dan nanoteknologi, kegunaannya, penyelidikan yang dilakukan di Malaysia khususnya UKM dan impaknya terhadap masyarakat. Ditulis dengan tidak terlalu teknikal supaya orang yang tidak mempunyai latar belakang sains dan kejuruteraan dapat memahami.


Saturday, November 15, 2008

Suasana Syarahan Perdana



Friday, November 14, 2008

Pantun Selesai Syarahan Perdana

Ramai yang mahu melihat semula pantun yang saya berikan diakhir syarahan perdana. Pantun-pantun tersebut adalah,

Makan roti berinti kaya
Buat sarapan diwaktu pagi
Sekian dahulu syarahan saya
Bertajuk MEMS dan Nanoteknologi

Waktu tengahari pulang ke rumah
Makanan kegemaran asam laksa
Ramai ingat yang kecil itu lemah
Walaupun kecil impaknya raksasa

Ambil air dari perigi
Di waktu malam diterangi lilin
Bidang MEMS dan nanoteknolgi
Tiada pemisah antara disiplin

Sebelum syarahan tidur tak lena
Kawan dan rakan entah ke mana
Kehadiran tuan-puan amat bermakna
Kesudian mendengar syarahan perdana

Sate terkenal sate Kajang
Perak terkenal dengan rendang Tok
Syarahan saya agak panjang
Diharap tuan/puan tidak mengantok

Mengundang nashid Kumpulan Raihan
Meraei keramaian rumah Cik Mansor
Sekian giliran saya memberi syarahan
Bagi mengukuh jawatan profesor

Wan tu teri (One two three)
Satu dua dan tiga
Kehadiran tanda sokongan diberi
Sambutan baik tidak diduga

Tidur bermalam di rumah Pak Uda
Sebelum singgah di kampung Tua
Syarahan perdana lama tertunda
Untuk mendapatkan tajuk istimewa

Ramai-ramai datang ke mari
Sehingga lupa bila nak pulang
Banyak sudah syarahan diberi
Semoga UKM bertambah gemilang