Wednesday, December 31, 2008

Mengakhiri Tahun 2008 di Seoul

Kali ini saya dan isteri serta Hanas, Mimi dan suami menyambut kedatangan tahun 2009 di Seoul. Tepat jam 12.00 malam 2009 suasana malam di Seoul diterangi dengan percikan bungapi menyambut kedatangan tahun baru. Saya menunggu countdown di hotel sahaja sebab suhu ketika itu -8 degree Celcius dan sedang sibuk untuk bersiap untuk ke airport esok pagi jam 7.30 pagi. Hanas, Mimi dan Faiz sempat meninjau suasana di Gangnam station yang dibanjiri manusia untuk menyambut kedatangan 2009.
Hari terakhir di Seoul, saya tidak bekerja, masa luang digunakan untuk berjalan-jalan dan membeli buah tangan yang boleh dibawa pulang ke Malaysia. Saya yang sudah beberapa kali ke Seoul hanya menemani sahaja dan agak senang hati kerana tak perlu fikir apa yang nak dibeli untuk keluarga kerana isteri saya melakukan semuanya. Semasa di Seoul iaitu semasa cuti Chrismas saya sempat ke Ski resort di Konjiam lebih kurang 1 jam dengan kereta bersama Prof. Lee dan isterinya. Pergi ke sana untuk ambil gambar sahaja sebab kalau nak main kena belajar dulu.
Bagi orang Malaysia bila ke Seoul biasanya beberapa tempat mesti dilawat untuk membeli-belah. Tempat yang biasa dikunjingi ialah Itaewon, Namdaemon market, Dongdaemon market. Jika ketiga tempat sempat dilawat sudah puas hati kerana terdapat barangan yang boleh diperoleh dengan harga yang murah. Dan jika ada masa bolehlah ke COEX mall, Yongsan market untuk barang elektronik dan lain-lain.
Selama 15 hari berada di Seoul sebagai profesor pelawat di Seoul National University telah memberi saya banyak pengalaman dan idea baru hasil pertemuan dan perbincangan dengan beberapa profesor di sini khususnya pengarah-pengarah Institut penyelidikan. Perkara ini akan saya ceritakan dimasa akan datang dibawah tajuk lain.
Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapakan terima kasih kepada Prof Lee yang telah menjemput saya ke sini yang ditanggung sepenuhnya oleh SNU. Kerjasama yang telah dibincangkan sebelum ini telah dilaksanakan dan bukan sekadar tanda tangan MOU sahaja. Untuk maklumat SNU telah tandatangan MOU dengan universiti seluruh dunia dan untuk Malaysia dengan University Malaya, tapi mengikut Prof Lee tiada aktiviti yang telah dilakukan. Tahun ini UKM melalui IMEN telah memulakan aktiviti kerjasama tanpa tandatangan MOU anatar universiti. Jaringan antarabangsa bukan bermakna lawatan peringkat atasan sahaja, tetapi yang yang penting ialah aktiviti yang betul-betul dilakukan.

Saturday, December 27, 2008

Makan malam di rumah Prof. Lee Seoul

Pada 26 Disember saya dan dua staf IMEN dijemput ke Daejeon oleh MIDAS untuk melihat peralatan yang telah dipesan serta mengikuti latihan. Perjalanan dari Seoul ke Daejeon mengambil masa hampir 2 jam dengan teksi. Di MIDAS saya telah diberikan penerangan mengenai peralatan tersebut yang merupakan yang pertama di Malaysia. Saya serta isteri dan dua research staff IMEN, Mimiwaty yang ditemani suaminya Dr. Faiz serta Hanas telah menginap di Daejeon dan pulang ke Seoul keesokan hari dengan keretapi laju Korea(KTX) dengan kelajuan 300km/jam. Perjalanan mengambil masa 1 jam dan sampai di Seoul Station pada jam 3 petang dan menaiki subway untuk kembali ke hotel Provista.
Di rumah Prof. Jong Duk Lee
Bersama keluarga Jong Duk Lee, dari kiri anaknya, cucu dari anak lelaki, saya dan isteri, isteri Lee, cucu anak lelaki, Prof. Lee dan cucu anak perempuan, cucu anak perempuan, anak perempuan Lee, dan menantu perempuan, menantu lelaki tiada kerana kurang sihat.

Makan-makan di rumah Prof. Lee





Sebelah malam, Prof. Lee mengundangkan ke rumahnya untuk makan malam bersama keluarganya. Beliau tinggal di sebuah apartment di Seoul tidak jauh dari hotel tempat saya, Mimi dan Hanas menginap, Hotel Provista. Prof. Lee datang sendiri ke hotel untuk bawa kami berjalan kaki ke rumahnya yang terletak di atas kawasan tinggi. Semua anak menantu serta cucu beliau turut hadir bersama dan menantu beliau telah menyediakan makanan yang boleh dimakan tanpa mengandungi daging.

Thursday, December 25, 2008

Profesor Pelawat di Seoul National University, Korea

Seoul National University(SNU) merupakan universiti no. 1 di Korea. Dalam ranking THES 2008 disenaraikan sebagai no 50 di dunia berbanding UKM no 250. Pada tahun 2004 saya ambil kesempatan melawat Prof. Jong Duk Lee di Inter-University Semiconductor Research Center(ISRC), SNU semasa menyertaan pameran Seoul Internation Invention Fair(SIIF) di mana memperoleh 2 pingat emas. ISRC merupakan suatu center yang mempunyai kelengkapan paling baik dalam bidang mikroelektronik, kemudahannya jauh kebih baik dari MIMOS walaupun ia merupakan entiti di universiti. Prof. Jong Duk Lee merupakan orang paling prominent di Korea dalam bidang tersebut.
Memberi ucapan dalam seminar khas di ISRC
Dinner bersama beberapa orang profesor SNU
Di hadapam Doyen Hall selepas seminar. Nama dewan adalah nama gelaran bagi Prof. Lee untuk mengingati sumbangan beliau sebagai pengasas ISRC.






Bersama staf IMEN Mimiwaty dan Hanas di hadapan ISRC

Chrismas di Konjiam resort

Depan rumah tempat simpan kimci

Saya amat merasa terhormat kerana diundang oleh Prof Lee untuk berada di SNU sebagai profesor pelawat(merupakan yang pertama dari Malaysia). Kerana kesibukan kerja di UKM, saya hanya boleh tinggal 2 minggu sahaja walaupun diundang untuk sekurangnya 1 bulan.
Di samping itu saya juga mempunyai projek yang perlu dilaksanakan di ISRC yang merupakan penyelidikan di IMEN. Untuk itu turut berada di ISRC ialah dua staf IMEN iaitu Mimiwaty dan Hanas untuk mendalami proses yang turut dilakukan di IMEN. Mereka cukup berbangga kerana dapat masuk ke cleanroom ISRC untuk besama engineer di sini melakukan proses kerana tidak semua oarang luara SNU dibenarkan masuk bekerja di cleanroom mereka.
Di SNU saya turut memberikan seminar bertajuk "Research and Bussinees Oportunities in MEMS and Nanotechnology in Malaysia" yang di adakan di Dewan kuliah di ISRC yang diber nama Doyen Hall sempena nama nama jolokan kepada Prof. Lee yang merupakan pengasas ISRC. Sebenarnya semasa saya melawat ISRC pada tahun 2004, Prof. Lee menunjukkan dewan tersebut, dan beliau berkata "one day you will give talk here." masa itu saya rasa agak kerdil berbanding aktiviti meeka dan tidak membayangkan ianya akan berlaku, dan pada 23 Disember saya telah memberikan ucapan di dewan tersebut.
Saya juga sempat berjumpa dengan beberapa pengarah research center di SNU yang mempunyai hampir 100 research center dalam berbagai bidang yang mana ISRC merupakan yang terbesar dan mendapat peruntukan dari Kerajaan.

Tuesday, December 16, 2008

Pengurniaan Darjah Kebesaran J.M.N.

Pada 16 Disember 2008 istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan telah diadakan di Balai Rong Seri Istana Negara. Saya telah dikurniakan Darjah Kebesaran Johan Mangku Negara (J.M.N.) atau dalam Bahasa Inggeris "Companion of the Order of the Defender of the Realm". Darjah tersebut telah dianugerah pada Jun 2008, tetapi istiadatnya dilakukan secara beringkat sehingga akhir tahun ini. J.M.N. yang diujudkan pada 1958 merupakan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Ketiga, tetapi tidak mempunyai gelaran, pangkat kedua Tan Sri dan pangkat pertama Tun. Bersama penerima pada hari ini ialah Tan Sri Rafidah Aziz yang menerima Panglima Mangku Negara (P.M.N.) yang membawa gelaran Tan Sri, lima orang menerima Panglima Jasa Negara (P.J.N.) yang membawa gelaran Datuk diantaranya Y. Bhg Datuk Kalimullah Masheerul Hassan dan Datuk Othman Lebai Saad. Tiga orang menerima J.M.N. termasuk saya sendiri.
17 orang menerima Johan Setia Mahkota (J.S.M), 50 orang menerima Kesatria Mangku Negara (K.M.N.), 93 orang menerima Ahli Mangku Negra (A.M.N.), dan 138 orang menerima Pingat Pangkuan Negara (P.P.N.)
Selepas majlis pengurnian, semua penerima P.M.N., P.J.N. dan J.M.N. bersama pasangan masing-masing dijemput mimum bersama Yang di-Pertuan Agong di Dewan Tetamu, manakala penerima lain di luar Istana. Makan bersama Agong penuh dengan adat dan sopan, jadi terpaksalah makan alah kadar sahaja, walaupun sebenarnya nak makan betul sebab pagi tu tak sempat sarapan. Saya tidak menyangka saya kena minum bersama Agong, rupanya darjah yang diterima melayakannya. Malangnya gambar tidak boleh diambil di dalam dewan tersebut. Selepas minum semua penerima diminta masuk semula ke Balai Rong Seri untuk ambil gambar setiap seorang oleh jurufoto Istana. Oleh sebab terdapat 270 orang penerima terpaksalah beratur panjang, semasa dalam barisan seorang pegawai Istana memberitahu bahawa penerima J.M.N. ke atas tidak perlu beratur, terus sahaja kedepan. Itu telah menjimatkan masa kerana pukul 2.00 saya ada meeeting dengan profesor dari Veana di UKM. Jika perlu beratus saya rasa pukul 2.00 petang baru selesai.
Itulah serba sedikit pengalaman di Istana Negara dalam istiada pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat.

Monday, December 8, 2008

Selamat Hari Raya Aidiladha

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam khususnya pengunjung blog saya. Disini saya sampaikan beberapa rangkap pantun untuk renungan.
Buat baik berpada-pada
Buat jahat sangat bahaya
Balik kampung orang tiada
Di sini sahaja berhari raya

Orang muda kuat berusaha
Orang tua banyak berjasa
Hari Raya Aidiladha
Di Kelantan besar, di sini biasa

Pergi berbelanja di pasararaya
Beli barang tak boleh sedikit
Makan lemang adat berhari raya
Dimakan banyak bawa penyakit

Semakin tua rambut beruban
Kelihatan kacak dan boleh tahan
Di hari raya kita berkorban
Tanda taat perintah Tuhan

Burung terbang dengan kepak
Jatuh ke bumi menjadi sampah
Buat baik orang tak nampak
Buat jahat orang menyampah

Naik kenderaan berjalan perlahan
Bergerak di jalan seperti unta
Hari biasa banyak kesalahan
Di pagi raya maaf dipinta

Menziarah kawan di Singapura
Tak kira kaum tak kira bangsa
Di Hari Raya kita bergembira
Jangan lupa mangsa di Bukit Antarabangsa



Pokok berlubang kerana belatuk
Lubang dikorek ditengah batang
Pelakun Shahrukhan bergelar Datuk
Kerana minat, Melaka memberi bintang

Tuesday, December 2, 2008

Lantikan Felo MASS

Persatuan Sains & Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia(MASS) telah berusia 24 tahun yang ditubuhkan pada tahu 1984. Pengerusinya ialah Prof. Datuk Dr. Muhammad Yahaya sejak penubuhan sehingga kini. Salah satu aktiviti MASS adalah penganjuran persidangan keadaan pepejal setiap tahun dan menerbitkan kertas yang terpilih untuk diterbitkan dalam jurnal. Saya telah menjadi ahli MASS sejak 1991 dan pernah diundang sebagai invited speaker pada tahun 1998 untuk bercakap tentang teknologi GaAs. Sehingga kini MASS mempunyai keahlian lebih dar 300 orang dari seluruh Malaysia.
Pada 1 Disember 2008 saya telah menerima watikah perlantikan sebagai Felo Persatuan Sains & Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia(MASS) di Majlis Makan Malam Persidangan Serantau Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal yang ke 24 - RCSSST2008, di Tiara Beach Resort, Port Dickson. Pada kali ini UPM menjadi tuan rumah sebagai penganjur bersama yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Abdul Halim Shaari. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak MASS yang telah memilih saya sebagai felo (FMASS).
Di kesempatan itu saya sempat meninjau perjalanan persidangan yang saya kira mendapat sambutan yang baik. Terdapat 2 keynote dan 3 plenary disamping lebih dari 200 kertas kerja dalam bidang Ceramics and Glasses, Magnetic Materials, Materials Preparation anda Characterisation, Metals and Alloys, nanosciences and nanotechnology, Optical and Dielectric materials, Polymers and Composites, Semiconductor and Devices, Superconductors, Theory, Simulation & Modelling, Thin Films.
MASS bagi pandangan saya telah berjaya membina kritikal massa dalam bidang fizik dan kimia keadaan pepejal.

Wednesday, November 26, 2008

Pengalaman saya dengan IEEE Electron Devices Chapter (ED Malaysia) 1994-2006

Saya menjadi Pengerusi Electron Devices (ED) Chapter IEEE Malaysia sejak 1994 atas permintaan Dato' Dr. Muha Pandak Ahmad yang merupakan Pengerusi IEEE Malaysia ketika itu. Sebelum itu ED dipengerusikan oleh Allahyarham Prof. Dr. Zahari Mohd Darus(ketika itu profesor madya) yang merupakan Pengerusi Pengasas ED Malaysia tetapi melepaskan jawatan selepas penganjuran 1992 IEEE International Conference on Semiconductor Electronics (ICSE92) (yang pertama). Bilangan ahli ED seluruh Malaysia adalah kecil pada masa itu, sebenarnya tawaran Dr. Muha itu saya tidak mahu, tetapi beliau memujuk kerana tiada calon lain dan akhirnya saya setuju. ISCE92 dipengerusikan oleh Dr. Zahari dan Dr. Sahbudin ketika itu sebagai pengerusi persidangan(teknikal) diadakan di PWTC, Kuala Lumpur. Itu merupakan pengalaman pertama bagi ED dalam menganjurkan persidangan. ICSE92 tidak banyak paper, hanya 27 sahaja, tapi kebanyakan pesertanya adalah dari luar negara termasuk Prof. S.M. Sze dari Taiwan Prof. Cary Yang dari Santa Clara, Prof. Jong Duk Lee Korea dan banyak lagi. Orang Malaysia sangat kurang kerana tiada hasil penyelidikan yang sesuai untuk dibentangkan kecuali hasil kerja semasa PhD yang baru selesai termasuk saya sendiri yang dibentangkan oleh penyelia saya Dr. M. J. Morant dari Durham University. Dr. Hasegawa dari Shono's lab Sophia University, Tokyo juga datang yang kemudian terus bekerja dengan kumpulan mikrolektronik di UKM(attachement) selama 6 bulan. Selama dua tahun ED tiada pengerusi dan ICSE 94 tidak dapat dianjurkan. Aktiviti ED dalam tempoh tersebut hanyalah penganjuran kursus-kursus pendek yang mendapat pulangan yang banyak.

ICSE96 merupakan persidangan antarabangsa pertama yang saya pengerusikan yang diadakan di Penang. Pada masa itu paper dari Malaysia masih lagi terhad bilangannya, jumlah paper keseluruhan hanya 65. Sebagai negara penganjur sepatutnya Malaysia mempunyai bilangan paper yang banyak. Ketika itu tidak banyak aktiviti penyelidikan dalam bidang semikonduktor di Malaysia. Pihak industri hanya menumpukan pada packaging sahaja, dan itu sebablah kursus pendek berkaitan dengan packaging cukup banyak mendapat sambutan dari INTEL, Motorola dan AMD.

Pada tahun 1997, National Symposium on Microelectronics (NSM) dianjurkan bertujuan untuk menggalakan dan melatih penyelidik dan pensyarah tempatan bagi menyertai ICSE yang seterusnya. NSM97 diadakan di KRU UKM dan dirasmikan oleh Dekan Kejuruteraan dengan hanya 33 paper dari seluruh Malaysia. Selepas perancangan ICSE98 dibuat untuk tahun 1998, saya terpaksa ke GEC Marconi, UK selama 9 bulan yang berakhir pada Oktober 1998, tapi tidak melepaskan pengerusi ED dan terus berkomunikasi dari UK, dan Prof. Sahbudin selaku vice chairman meneruskan di Malaysia. Ketika itu berlaku kegawatan kewangan serantau. Pada bulan Julai atau Ogos setiap tahun pihak IEEE US meminta maklumat terkini siapakah pengerusi ED Malaysia yang baru untuk diperbarui maklumat. Saya telah minta pandangan dari Malaysia yang saya sedia melepaskan jawatan jika ada yang mahu mengganti. Tiada yang menjawab kecuali Prof. Mohamad Mat Salleh dan Prof. Mohamad Yahaya yang minta saya meneruskan sahaja mempengerusi ED Malaysia. Saya menggunakan kesempatan semasa di GEC Marconi untuk membawa seorang speaker untuk kursus pendek semasa ICSE98 yang di adakan di Equatorial Bangi.
Seterusnya NSM99 diadakan di Pangkor, ketika itu paper yang berkualiti sudah mula banyak khususnya dari UKM, UM, MIMOS dan industri semikonduktor. Prof. Arora buat pertma kalinya diundang sebagai speaker utama. ICSE2000 diadakan di Guoman Resort, Port Dickson dan penyertaan masih lagi kecil tetapi paper dari Malaysia sudah mula menguasai bilangan. Prof Iwai dari Tokyo Institute of Technology selaku Electron Device Chairman seluruh dunia turut hadir untuk mesyuarat ED dan sebagai speaker utama. ICSE2000, walaupun kecil dengan peserta luar yang sedikit tetapi mendapat sponsor dari MIMOS, On Semiconductor dan Kerajaan Negeri Sembilan. Tahun 2000 merupakan tahun alaf baru dan peruntukan penyelidikan kepada universiti masih kecil dan dipenghujung RMK7.
NSM2001 diadakan di Awana Genting dengan bilangan paper yang banyak termasuk dari Singapura. NSM2001 dibuat dengan sesi khas fotonik dengan tujuan untuk menarik sponshorship dari kumpulan fotonik Malaysia (UM, UKM, SIRIM, UTM) yang ketika itu banyak duit dari geran IRPA, tetapi malangnya strategi itu tidak berjaya kerana tiada sponsorship dari kumpulan tersebut kecuali bilangan paper dalam bidang tersebut agak banyak.
ICSE2002 diadakan di Penang betempat di Gurney Hotel. Tahun 2002 adalah tahun di mana saya mendapat geran penyelidikan yang besar tahun penubuhan IMEN. Kali ini ICSE dibuat dengan kerjasama USM sebagai wakil di sebelah utara. Walau bagamanapun operasinya masih dikawal di ibu pejabat ED di IMEN, UKM. Pada masa itu saya mempunyai kemudahan yang cukup baik dari segi kewangan, tenaga manusia dan pejabat kerana saya juga sebagai Pengarah Institut. Hasilnya ICSE2002 telah mengumpulkan sebanyak 121 paper, suatu kenaikan mendadak dari 52 paper tahun 2000 bersamaan dengan 133%. Sponsorship dari sayarakiat juga agak banyak terutama MEMS Technology Sdn Bhd sebagai penaja utama dan beberapa syarikat lain. Nama ICSE sudah menjadi terkenal kepada penyelidik semikonduktor terutamanya di Malaysia dan juga antarabangsa melalui IEEE yang beribu pejabat di New Jersey USA. Saya pernah menyebut tentang kejayaan ICSE2002 kepad Prof. Hiroshi Iwai semasa di Tokyo, tetapi beliau menanyakan bagaimana dengan bilangan ahli ED Malaysia kerana bilangan keahlian ED di Malaysia cukup kecil. Bagi beliau penambahan ahli ED lagi penting daripada persidangan yang hebat tetapi AJKnya bukan ahli IEEE khususnya ED.
NSM2003 dianjurkan di Perlis yang merupakan pertama kali bagi sejarah Negeri Perlis suatu persidangan bersifat teknikal diadakan. Persidangan tersebut adalah dengan kerjasama KUKUM yang mahu menonjolkan kewujudannya. Silterra, KUKUM, Kerajaaan Negeri Perlis dan IMEN merupakan penaja utama. Persidangan tersebut mendapat liputan akhbar Berita Harian versi Utara. Sekarang paper yang dibentang sudah semakin berkualiti untuk peringkat Kebangsaan. Penyertaan dari Singapura terutama Chartered Semiconductor juga dibenarkan.
Pada tahun 2004, ED sekali lagi menganjurkan persidangan antarabangsa iaitu ICSE2004 yang diadakan di Mines Beach Resort Kuala Lumpur. Penglibatan IMEN cukup banyak ketika itu dimana terutama staf penyelidikan yang buat khusus untuk ICSE2004. Buat pertama kalinya taraf "in-cooperation" telah tukarkan kepada "supported by" bagi IMEN,UKM. Bilanagn paper telah meningkat kepada 150 dengan 5 invited speaker dari University of Sheffield, Thailand, Belgium, dan Indonesia. Dato' Seri Rafidah Aziz, Menteri Perdanagan Antarabangsa dan Industri telah merasmikan persidangan tersebut. Silterra, MBE Technology Malaysia, dan Telekom Malaysia merupakan penaja utama disamping penglibatan syarakit dalam pameran-pameran telah menghidupkan persidangan tersebut. Di akhir persidanga saya terpaksa ke Seoul Korea bersama UKM dalam Pameran Inovasi Antarabangsa (SIIF) 2004. Di Korea saya sempat melawat Prof. J. D. Lee di Seoul National University yang juga baru pulang dari Malaysia menyertaan ICSE2004. Beliau telah memuji kejayaan ICSE2004 yang telah meningkat berbanding ICSE2002 yang beliau juga hadiri.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya sudah mahu melepaskan jawatan sebagai Pengerusi ED Malaysia tetapi tiada yang mahu menggantikan. Keputusan mesyuarat agung ED memutuskan saya terus sebagai pengerusi untuk 2005. Seperti biasa tahun ganjil merupakan tahun penganjuran persidangan Kebangsaan. NSM2005 dianjurkan dan kali ini di Kuching Sarawak. dengan kerjasama UNIMAS. Kali ini IMEN,UKM dinaikkan taraf sebagai penganjur bersama ED Malaysia. Prof. J.D. Lee dari Seoul National University, Korea dan Dr. Joh Nelson dari 1st Silicon sebagai invited speaker. Bilangan paper meningkat kepada 90 termasuk penyertaan dari Singapura khususnya Chartered Semiconductor. Persidangan tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak Dr. George Chan. NSM2005 telah mendapat liputan meluas dalam beberapa akhbar di Sarawak. Temurama dengan mengena nanoteknologi juga turut dimuatkan. Selepas NSM saya pergi ke Brisbane membentangkan 3 kertas kerja di SPIE. Di sana saya sekali lagi memikirkan untuk melepaskan jawatan kerana sudah terlalu lama. Malangnya saya diminta meneruskan sekali lagi sebagai pengerusi ED yang diputuskan dalam mesyuarat agung ED yang adakan di UPM. Ini bermakna saya akan terus mempengerusikan ICSE2006. Sebenarnya jika ED mempunyai ahli yang ramai pengerusi ED dan pengerusi persidangan boleh dari individu yang berlainan dan tidak ramai yang mempunyai kemudahan sekretariat.
IMEN, UKM bertindak sebagai penganjur bersama EDS untuk ICSE2006. Selaku ketua projek MEMS dan Pengarah IMEN saya telah menggunakan kemudahan tersebut untuk menganjurkan ICSE2006. Untuk itu saya telah membahagikan prosiding ICSE2006 kepada dua bahagian iaitu "Semiconductor Devices and Integrated Circuits" dan " MEMS sensors, Actuators and Nanoelectronics". Ini bertujuan untuk justify penggunaan staf MEMS dan IMEN yang tugasnya 100% dalam ICSE2006. Hasilnya ICSE2006 yang diadakan di Prince Hotel, Kuala Lumpur telah mengumpulkan sebanyak 225 paper dengan 69 daripadanya berkaitan dengan MEMS dan Nanoelektronik. Pihak UKM telah menyumbang banyak dari segi kewangan dan tenaga khususnya IMEN, dan Naib Canselor UKM Prof. Dato' Dr. Sharifah Hapsah telah turut hadir dalam majlis perasmian persidangan yang diadakan sempena conference dinner. Perasmian adalah oleh Menteri Pengajian Tinggi tetapi telah diwakilkan oleh Timbalan Ketua Setuauasaha Kementerian Dato' Dr. Mohamad Taib. ICSE2006 dibuat sempena tahun IMEN dirasakan telah mencapai taraf dunia sebagai institusi penyelidikan. Upacara perasmian malam itu cukup gilang gemilang dan bertambah manis apabila UKM dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri tahun 2006.
Tahun 2006 merupakan tahun terkahir saya sebagai pengerusi ED Malaysia setelah hampir 14 tahun menerajunya sejak 1994. Menurut perlembagaan IEEE Malaysia yang dipinda pada tahun 2006 seseorang tidak boleh menjadi pengerusi lebih dari dua tahun berturut-turut. Pindaan perlembagaan tersebut telah membolehkan saya melepas jawatan dan membolehkan orang lain mengambil alih. Saya telah menjadi pengerusi chapter yang paling lama di bawah ~6 pengerusi IEEE Malaysia. Sehingga ada yang mengatakan saya nak pegang selama-lamanya, sebenarnya semasa pemilihan dalam mesyuarat agung tak ada yang mahu atau calon layak tak datang mesyuarat. Untuk 2007/2008 ED Malaysia telah memilih Prof. Dr. Sahbudin Shaari sebagai pengerusi yang baru dan memberi peluang kepada saya untuk berehat daripada mumikirkan penganjuran persidangan tiap-tiap tahun. Dari segi untuk menarik penyertaan luar negara, saya berpendapat ICSE (persidangan antarabangsa)hanya sesuai diadakan di Kuala Lumpur atau Penang manakala NSM yang sekarang sudah ditukar kepada RSM bolehlah dibuat di mana-mana seluruh Malaysia.
Saya melihat aktiviti penyelidikan dalam bidang semikonduktor dan yang berkaitan sudah mempunyai peningkatan yang ketara di Malaysia dan ICSE merupakan platform untuk perjumpaan di kalangan penyelidik dan akademia di Malaysia. Status prosiding yang berindeks Scopus akan menjadikan ICSE terus menjadi tempat kepada para akademia membentangkan hasil penyelidikan mereka.
Sekian sedikit sebanyak perkembangan ED Malaysia dan pengalaman saya selama menjadi pengerusinya dari 1994 hingga 2006. Satu pengalaman yang cukup manis terutama dapat melihat perubahan pada ahli penyelidikan semikonduktor di Malaysia. Dari terlalu sedikit aktiviti penyelidikan kepada keadaan yang cukup membanggakan. Sehingga ICSE mahupun NSM/RSM sentiasa terlebih paper untuk dibentangkan. Sekarang aspek kualiti pula harus dijadikan keutamaan.



Ucapan terakhir sebagai pengerusi ED dan ICSE.

Sunday, November 23, 2008

Latar diri

Buku syarahan

Kepada yang tidak dapat hadir syarahan perdana saya boleh mendapatkan buku syarahan tersebut daripada Penerbit UKM. Buku tersebut membahaskan tentang micro electromechanical systems (MEMS) dan nanoteknologi, kegunaannya, penyelidikan yang dilakukan di Malaysia khususnya UKM dan impaknya terhadap masyarakat. Ditulis dengan tidak terlalu teknikal supaya orang yang tidak mempunyai latar belakang sains dan kejuruteraan dapat memahami.


Saturday, November 15, 2008

Suasana Syarahan Perdana