Thursday, December 31, 2009

Pengalaman semasa di Tanah Suci

Syukur Alhamdulilah saya dan isteri selesai menunaikan fardhu haji dan kembali kembali ke Malaysia pada 24 Desember 2009. Selama 40 hari berada di Mekah dan Madinah, cukup banyak pengalaman dan pengajaran yang diperolehi.
Berlepas dari KLIA jam 9 pagi iaitu 1 jam lebih lewat dari yang dijadualkan. Sampai di Jedah pukul 12.00 tengahari waktu Arab Saudi (5 jam berbeza dengan malaysia) tetapi sampai ke hotel di Mekah iaitu hotel Rehad Al-Bustani di daerah Misfalah pada pukul 10.00 malam. Sebenarnya jarak di antara Jedah dan Mekah hanyalah 70 km sahaja, tetapi saya rasa pengurusan dipihak Arab Saudi yang kurang sistematik menyebabkan lambat sampai.
Setelah berehat kira-kira dua jam di tempat penginapan barulah kumpulan kami pergi melakukan tawaf dan saei di Masjidil Haram yang jaraknya kira-kira 800 meter dari tempat penginapan. Semasa sampai di masjid, jemaah haji lain dari seluruh dunia sudah pun memenuhi hampir ruang mengelilingi kaabah. Sungguh menakjubkan, dan saya bersyukur kerana terpilih menjadi tetamu Allah dan berada di situ. Selesai tawaf sebanyak 7 pusingan saya dan isteri sembahyang sunat dan berdoa di belakang Makam Ibrahim. Terlalu ramai jemaah haji sehingga pergerakan menjadi sukar. Bermacam ragam orang semasa tawaf dan di situlah kita kena banyak bersabar. Saei dapat dilakukan dengan mudah kerana ruangnya sudah diperbesarkan dua kali lebar yang asal dan terdapat 3 tingkat. Selesai bersaei dan bergunting lebih kurang pukul 2.30 pagi maka selesai umrah haji bagi yang melakukan haji tarmatuk. Waktu itu jemaah yang tawaf semakin ramai sehingga padat tidak seperti ketika mula kami bertawaf jam 12.30.
Ketika berjalan kaki dari masjid pulang ke hotel, jemaah haji yang sudah lama sampai di Mekah sedang berduyun-duyun berjalan menghala ke masjid untuk menunggu sembahyang subuh jam 5.15 pagi. Jadi kami terpaksalah berjalan menentang arus manusia. Kami terpaksa pulang sebab terlalu letih dan mahu tukar pakaian dari kain ihram kepada pakaian biasa setelah lebih satu dalam perjalanan.
Aktiviti sementara menunggu hari wuquf, adalah bersembahyang waktu dan iktikaf di Masjidil Haram yang mempunyai kelebihan 100,000 kali lebih baik dari sembahyang di masjid lain. Ulang - alik ke Masjidil Haram adalah berjalan kaki sejauh 1.6 km pergi dan balik melalui jalan yang dipenuhi dengan lautan manusia untuk tujuan yang sama. Sebenarnya, di Mekah sekarang sedang berlaku kerja renovasi secara besar besaran, di mana hotel-hotel yang dahulu terletak berhampiran dengan masjid telah diruntuhkan untuk membina komplek haji yang lebih moden yang boleh menampung jumlah jemaah yang lebih besar.










Hujan turun dengan lebat(mengikut standard Mekah) pada hari Tarwiyah iaitu sehari sebelum Wuquf. Hari wuquf jatuh pada 27 Dec, dan untuk mengelakkan jam tabung haji mengarahkan semua jemaah pergi ke Arafah sehari sebelum wuquf untuk bermalam untuk menungggu waktu wuquf esoknya. Tetapi kerana hujan dan terjadi banjir di Arafah, maka kami terpaksa bertolak pada pukul 11 malam dan sampai jam 12. Semua karpet dan khemah basah dan tiada lampu. Di situ bermulanlah dugaan yang perlu ditempuhi. Kami tidur dengan suasana dalam khemah yang gelap, basah dan banyak nyamuk. Tetapi segala cabaran tersebut telah dapat dilalui sehingga hari siang. Waktu wuquf iaitu apabila gelincir matahari atau waktu zohor hingga terbenam matahari. Semua jemaah mesti berada di Arafah walaupun sebentar, tetapi sempat berada disitu sehingga waktu maghrib sebelum bertolak ke Muzdalifah untuk bermalam. Alhamdulillah semuanya dapat dilalui tanpa sebarang masalah. Sampai di Muzdalifah jam 10 malam, kami berada di situ hingga pag esoknya, dan sempat tidur di lapangan beratapkan langit dengan nyenyak.
Selepas Muzdalifah kami bergerak ke Mina untuk bermalam dan untuk melontar Jamrah Kumbra di sebelah malam. Keadaan di khemah Mina cukup bersesak. Keadaan tandas juga cukup sesak dan terpaksa berbaris panjang untuk buang air. Jadi kesabaran yang tinggi sangat diperlukan. Jarak di antara khemah kami dengan tempat melontar boleh dikatakan tidaklah jauh berbanding jemaah negara lain iaitu cuma 3.4 km sahaja. Tempat melontar cukup selesa kerana telah dibina 5 tingkat. Saya difahamkan bahawa kontraktor yang membinanya adalah kontraktor Malaysia.
Kami dari kumpulan Darul Mubarak telah membuat keputusan untuk membuat Nafal Awal dan berulang alik dari Mekah ke Mina dan tidak tidur di Mina. Jarak diantara Mina dan Mekah cuma 5 - 6 km. Pada hari ke 12 Hijrah kami melontar untuk hari ke 11 dan 12 pada hari yang sama. Setelah itu selesailah urusan melontar dan pulang ke Mekah untuk tawaf dan saei haji. Apabila kesemuanya selesai makan selesailah ibadah haji.

Kami ada 12 hari lagi tinggal di Mekah sebelum ke Madinah. Masa itu digunakan untuk melakukan beberapa kali umrah dan ibadah sunat di Masjidil Haram.

Pada hari ke 30 berada di Mekah maka sampailah ketikanya untuk bertolak ke Madinah. Sebelum itu jemaah mesti melakukan tawaf Wida' atau tawaf selamat tinggal. Saya sempat lakukan selepas sembahyang subuh. Keadaan ketika itu cukup sesak, lautan manusia mengelilingi kaabah seolah seperti ombak tsunami, tetapi Alhamdulillah saya dan isteri dapat melakuknnya sehingga selesai 7 pusingan.

Kami sampai di Madinah jam 5 petang, perjalananya mengambil masa 6-7 jam dengan sekali berhenti untuk buang air, makan dan sembahyang. Tempat berhenti atau R&R nya tidak selesa berbanding R&R lebuh raya kita. Kemudahan yang terdapat sangat asas, mungkin sebabnya kerana teerletak di tengah padang pasir.

Bandar Madinah adalah lebih moden dan bersih, hotelnya jauh lebih baik dari Mekah dan berhampiran dengan Masjid Nabawi. Di Madinah kami tinggal selama 8 hari untuk membolehkan setiap jemaah berpeluang sembahyang 40 waktu di Masjid Nabawi. Kelebihan sembahyang di Masjid Nabawi adalah 1000 kali lebih baik dari lain-lain masjid kecuali Masjidil Haram. Di hari pertama di Madinah kami dibawa menziarah Makam Rasullullah (SAW) dan raudhah yang merupah sebahagian dari bangunan Masjid Nabawi.

Setelah 8 hari di Madinah, maka sampailagh saatnya untuk kembali ke Tanah air. Saya amat bersyukur kerana segala urusan telah berjalan dengan lancar sehingga selesai. Kami berlepas dari Madinah ke KLIA dengan penerbangan Arab Saudi. sampai di KLIA jam 1.45 pagi 24 Disember.