Thursday, June 4, 2009

Chin Peng mahu balik ke Perak?

Generasi sekarang banyak yang tidak mengenali siapakah Chin Peng, malah saya sendiri tidak pernah berjumpa dengannya kecuali melihat gambarnya dalam buku sejarah semasa Tunku Abdul Rahman berunding dengannya di Baling, Kedah. Chin Peng ialah ketua Parti Komunis Malaya.
Beliau adalah seorang Cina Kantonis yang dilahirkan pada 21 Oktober 1924 di sebuah kedai kecil Jalan Kampung Koh, Sitiawan yang terletaknya 50 kilometer dari barat daya bandar Ipoh, Perak. Beliau dilantik untuk memimpin Parti Komunis Malaya(PKM) iaitu cawangan Parti Komunis China, dan bercita-cita mengkomuniskan Tanah Melayu.

Pihak British mengunakan Chin Peng untuk bersama menentang Jepun. Setelah Jepun menyerah kalah. Namun demikian penjajah British mulai sedar dengan pergerakan PKM ini, lalu pihak British mengatur langkah untuk menghapuskannya. Parti Komunis Malaya semakin berani bertindak dengan memperkuatkan lagi pasukan gerilanya bukan sahaja untuk berperang dengan tentera British malah telah mengancam keselamatan orang awam yang tidak mengikut telunjuknya. Orang Melayu dan oarang Islam tidak dapat menerima perjuangan PKM yang militan dengan fahaman Karl Marx dan Leninisme. Chin Peng menyedari betapa perjuangan komunisme agak sukar diterapkan di kalangan orang Melayu pada masa itu, kerana orang Melayu begitu kuat dengan pegangan agama Islam yang dianggap sebagai bertentangan dengan fahaman 'Marxisme'. Penolakan orang-orang Melayu terhadap komunisme telah menyulitkan lagi PKM untuk diterima sebagai pejuang kemerdekaan. Orang Melayu tidak boleh menerima Chin Peng yang begitu kuat untuk membawa fahaman komunis di negara ini. Chin Peng gagal untuk meyakinkan orang Melayu, malah rejim Chin Peng telah melakukan tindakan ganas yang melampaui batas dengan melakukan pencerobohan terhadap anak-anak gadis Melayu, memusnahkan prasarana awam termasuk menyerang balai-balai polis yang menjadi tempat perlindungan orang awam. Ramai anggota polis dan askar yang telah terbunuh akibat serang hendap yang dilakukan oleh pengganas komunis yang diketuai Chin Peng. Sejarah hitam penyerangan Balai Polis Bukit Kepong merupakan peristiwwa hitam yang sukar dilupakan. Peristiwa tersebut telah difilemkan oleh Dato' Jins Shamsudin, "Bukit Kepong" dan memenangi Filem Terbaik dalam Pesta Filem Malaysia ke-3, 1982, diterbitkan oleh syarikat Jins Shamsudin Productions. Perajurit-perajurit ini dibunuh kerana mereka dikatakan menjadi anjing kepada British yang menjajah negara ini. Tindakan ganas ini telah menyebabkan perjuangan mereka ditolak oleh rakyat.

Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putera, Baling pada tahun 1955. Tunku Abdul Rahman yang mendapati Chin Peng enggan menerima syarat pembubaran PKM dan enggan menyertai pilihan raya melalui parti lain sebagai syarat pengampunan, bertindak menolak tuntutan PKM agar dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah.

Dengan keengganan Parti Komunis Malaya berdamai, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka tanpa Parti Komunis Malaya. Parti Komunis Malaya yang lemah diasak semakin jauh ke dalam hutan sehinggakan kadang-kala tersingkir keluar dari Malaysia khususnya di sempadan Malaysia-Thailand.

Selepas kemerdekaan sehingga kejatyhan PKM pada 1989 acaman terbesar kepada Malaysia ialah pengganas komunis yang dipimpin oleh Chin Peng. Pengganas komunis telah menyusup ke kampung-kampung Cina dan bandar untuk meminta makanan dan bahan keperluan lain untuk digunakan di hutan. Pada masa itu agak sukar untuk mengenali seseorang itu komunis, penyokong komunis dan orang awam terutamanya orang Cina. Orang Cina yang tidak memberi kerjasama akan diseksa dan dibunuh. Itulah sebabnya masa itu Orang Melayu ketika itu selalu menganggap orang Cina adalah komunis teutama di kawasan hitam seperti kampung baru, dan bandar-bandar lama yang memang majoritinya orang Cina.

Masa itu banyak serangan hendap dilanccarkan oleh komunis di bandar dan di jalan-jalan yang lengang. Dahulu apabila disebut pekan Karak orang akan bayang kawasan bahaya di mana terdapat banyak polis dan tentera, kerana di situ adalah tempat yang selalu pengganas komunis. Di utara Perak seperti Grik dan utara Kelantan, di Betong dan banyak lagi. Jalan raya sentiasa ada rondaan tentera. Tugu Pahlawan pernah diletupkan pada tahun 1976 semasa saya adalah pelajar UKM. Letupan di sana sini berlaku hampir setiap hari. Angota keselamatan kita telah bertungkus lumus berperang dengan komunis, banyak yang terkena jerangkap samar yang dipasang oleh pengganas komunis sehingga mati atau putus kaki. Adik saya yang memasukan angkatan tentera pernah bertempur selama satu jam dengan komunis ketika membuat operasi di Sarawak sekitar tahun 1980.

Bersama beliau ialah Rashid Maidin dan Abdullah C.D. Rashid Maidin ialah pemimpin kanan Melayu dalam Parti Komunis Malaya. Rashid dilahirkan di Kampung Gunung Mesah, Gopeng, Perak pada 10 Oktober 1917. Rashid dikatakan mempunyai keistimewaan boleh menghilangkan diri jika diburu oleh pasukan keselamatan. Beliau juga dikatakan selalu mengunjungi adiknya di Kampung Sungai Itik, Simpang Pulai, Perak. Rumah itu daripada papan dan bertiang tinggi. Pasukan tentera mengepung rumah itu tetapi tidak dapat menemui Rashid yang dikatakan berada di situ. Tuan Haji Rashid Maidin telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Sisakoin, Narathiwat, Selatan Thailand pada 1 September 2006 kerana sakit tua pada usia 89 tahun.

Abdullah C.D. atau nama sebenarnya Che Dat bin Anjang Abdullah. Lahir di Lambor Kanan, Parit , Perak Darul Ridzuan pada tahun 1916. Abdullah C.D dilantik menjadi Komander Regimen ke-10 PKM mengetuai pasukan komunis Melayu bergerak di sekitar kawasan Narathiwat di sempadan Malaysia - Thailand dan di dalam hutan Kelantan. Kedua-duanya berkahwin dengan gadis Cina dan tinggal di Thailand.

Setelah keruntuhan komunis di Rusia dan runtuhnya Tembok Berlin di Jerman Timur tahun 1989, PKM semakin goyah. Satu perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dengan Parti Komunis Malaysia telah ditandatangani di Haadyai pada 1989. Selepas 1989, tiada ada lagi perjuangan bersenjata. Ahli PKM diterima sebagai warganegara Malaysia dan boleh kembali ke Malaysia. Walau bagaimanapun, pemimpin utama seperti Chin Peng dan Rashid Maidin hanya dibenarkan menetap di sebuah perkampung khas di Yala, Thailand.

Sekarang terdapat usaha untuk membawa pulang ketua pengganas ini ke Malaysia kerana mereka beranggapan rakyat banyak terutamanya orang Melayu sudah melupakan perbuatannya. Chin Peng yang sekarang berusia 85 tahun bukanlah pejuang kemerdekaan tetapi adalah ketua pengganas yang telah banyak menyusahkan rakyat. Adakah Chin Peng akan balik ke Sitiawan, Perak, tempat kelahirannya yang sekarang ini kawasan tersebut diwakili oleh Datuk Ngeh Koo Ham, ketua DAP Perak.
Oleh yang demikian biarlah CHIN PENG menghabiskan sisa-sisa hidupnya dalam buangan di Thailand, daripada dia terus dicerca sebagai pejahat komunis yang telah membunuh wira bangsa dan mewujudkan suasana tidak aman dan kesangsaraan di kalangan rakyat umum.

1 comment:

Labun Cikgulin said...

Nak pinjam petikan ini bawa laman FB saya.
Terima kasih.